Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Aug 20, 2010

Keampunan Allah Itu Dekat





Ramadhan terus meniti hari. Terasa begitu pantas ia berlari. Andai diizin, ingin kudakap Ramadhan seerat mungkin dan takkan ku biar ia berlalu. Syahdu begitu terasa menghayati bulan yang istimewa ini.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan.Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)


Alangkah ruginya andai peluang keemasan setahun sekali tidak kita pergunakan sebaiknya. Hari-hari Ramadhan yang telah berlalu cuba kurenung kembali. Ternyata azamku untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik masih belum tercapai. Apa indicator untuk dijadikan ukuran? Tilawahku adakah meningkat? Tarawikhku adakah penuh penghayatan? Sedekahku semakin bertambah? Amalku yang lain bagaimana?


Ternyata…ungkapan ‘Muga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lalu’ suatu ungkapan yang indah untuk dilafaz tetapi sukar untuk dilaksanakan, apatah lagi jika iman tidak sentiasa dibaja.


Hari ini ramadhan telah menjejaki hari yang ke sepuluh. Fasa di mana ruang bagi mendapatkan keampunan Allah itu semakin menghampiri. Sebagai insan biasa, sudah pasti tidak terlepas dari meakukan kesalahan dan kealpaan. Muga kita dapat terus bermunajat dan memohon keampunan dari Allah SWT. Dan muga Allah SWT mengurniakan keampunannya kepada kita semua. Yakinlah keampunan Allah itu sangat dekat....


Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”(Surah ali-Imran: 133)

Aug 7, 2010

Menantimu Dengan Penuh Rindu




Cuaca redup pagi ini mengundang kesuraman pada bicara seorang teman.

“Kak, akak perasan tak, sekarang ni kalau pergi kat mana-mana shopping compex dah macam dekat benar dengan hariraya. Puasa pun belum lagi, rimas betul saya dibuatnya”, getus hari seorang teman memecah keheningan suasana.

“Ye ke? Tak perasan pulak…mungkin sebab dah lama tak pergi merayau-rayau kot….tak berkesempatan la…”, jawabku jujur.

Lantas ku melihat kalender hari ini, 26 Syakban 1431 H, masih ada tiga hari lagi sebelum menjelangnya Ramadhan yang mulia. Terlalu pantas masa berlalu seakan-akan tidak menyedari setahun telah berlalu. Ya Allah ketemukanlah aku dengan Ramadhan kali ini kerana aku berazam untuk menebus kealpaan di Ramadhan yang lalu. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai jalan untuk aku menuju redhaMu.

“ Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang beriman sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (al-Baqarah, 2: 193)

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa.” (al-Hujurat, 49: 13)

Bukan sebarangan untuk memperolehi gelar taqwa. Terlalu sukar jalan yang perlu diharungi, lebih sulit dari memperoleh gelar PM atau Profesor atau seribu gelaran duniawi lainnya. Kini tawaran itu akan datang lagi bersama tetamu agung ini (Ramadhan) , tetamu Rabb al-Jalil. Ramadhan bagaikan seorang kekasih nan setia yang terpaksa menghilang seketika. Sampai masa dan ketikanya ia datang semula dengan penuh kesetiaan, dengan penuh kasih rindu nan syahdu.

Kehadiran tahunan kekasih agung ini sangat dinantikan oleh para kekasih, ditunggu ketibaannya dengan penuh rindu. Sehari terasa bagai sebulan, tidak sabar-sabarnya rasa untuk menanti tiba saat bahagia itu, untuk dapat diluahkan segala keindahan, keberkatan, dan kelebihan yang ada padanya, untuk dibuat persiapan istimewa, demi kasih dan cinta dapat dipadu, yang datang dengan ribuan keberkatan, rahmat dan maghfirah, yang menanti dan menunggu membalas dengan jiwa lahap, dahaga dan gelora mengharap taqwa.

Ibn Khuzaimah meriwayatkan dalam Sahihnya bahawa Salman al-Farisi r.a berkata: “Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Sya’ban, Baginda bersabda yang bermaksud:

“Wahai manusia, bulan agung, bulan penuh barakah telah (datang) menaungi kita, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam terbaik dari seribu bulan.
Pada bulan (ini) Allah mewajibkan puasa di siangnya, Allah sunnatkan Qiamullail, sesiapa yang bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) dengan melakukan satu kebaikan akan diganjari dengan pahala melakukan 70 ibadah fardhu yang dilakukan di bulan-bulan ini.

Ramadhan adalah bulan sabar dan sabar itu balasannya syurga, bulan santunan, bulan ditambah-Nya rezeki orang-orang mukmin, sesiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, ganjarannya adalah keampunan Allah terhadap segala dosa-dosanya, dirinya dibebaskan dari neraka dan dia mendapat pahala sebesar pahala orang yang berbuka itu tanpa dikurangi.”


Apabila menjelang malam pertama Ramadhan, mereka bagai sepasang pengantin baru, tidak mensia-siakan walau sesaat waktu untuk memadu kasih meluah harapan Rabbani dan kesetiaan, terhadap Allah Rabb al-Jalil sehingga mereka layak meraih Jannah al-Firdaus.

Terlalu semarak rasanya suasana keramat itu!!! Yang datang dan yang menanti tidak bertepuk sebelah tangan... yang datang dan yang menanti bagai irama dan lagu, laksana asyik dan ma’syuk, kedua-duanya saling setia dengan janji pertemuan penuh berkah dan rahmah.

Aku menantimu dengan penuh rindu ya Ramadhan….

Aku juga mengharap Syawal akan menjadi sebagai hari kemenanganku. Menang dalam berjuang di sepanjang bulan Ramadhan…..

Ameen Ya Rabb….

Jun 23, 2010

Jihad Adalah kebanggaan Kita




Termenung seketika pagi ini…merenung hakikat sebuah kehidupan yang semakin mencabar. Bagaimana agaknya sepuluh tahun lagi? Bagaimana agaknya dunia yang akan dilalui oleh generasi anak cucuku? Bagaimana dan bagaimana…? Persoalan demi persoalan yang tiada jawapannya berlegar-legar di ruang mindaku….

Lantas ku capai sebuah buku dan membelek-beleknya….MAJMUK RASAIL…Terpaku seketika dengan salah satu bab bertajuk Jihad Adalah Kebanggaan Kita. Tersenyum lega seusai membaca bab tersebut. Satu kupasan yang sangat menarik tentang konsep jihad tidak sepertimana yang saya fahami sebelum ini.

Sedikit perkongsian tentang kategori jihad sepertimana yang ditulis oleh Hassan al Banna dalam buku ini:

1. Semangat yang kental merindui kegemilangan Islam, semangat yang membara untuk melihat kedaulatan kuasa Islam dan menangis hiba kerana nasib yang menimpa umat Islam, kehinaan yang mereka alami, dukacita meratapi fenomena yang tidak diredhai oleh Allah dan RasulNya.

2. Mengorbankan sebahagian masa, harta dan sebahagian dari keperluan kita untuk kepentingan Islam dan umat Islam.

3. Menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang dari melakukan kejahatan.

4. Memutuskan hbungan dengan orang-orang yang memusuhi Allah dan RasulNya.

5. Menyerahkan segala jiwa dan harta untuk menjadi tentera Allah.

6. Jika tidak mampu untuk melakukan salah satu perkara di atas, hendaklah kita menyayangi para mujahid dengan sepenuh hati dan berikan nasihat setiap kali menemui mereka.

Lihatlah…. ruang-ruang jihad terbentang luas. Terserah kepada kita untuk merebutnya. Yakinlah dengan janji Allah:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan)bahawa mereka akan beroleh syurga”. (At taubah:111)

Dan berwaspadalah dengan Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Orang yang menemui Allah tanpa mempunyai kesan jihad nescaya dia akan menemui Allah dalam keadaan tubuhnya ada kecacatan”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah).





May 20, 2010

Realiti Di Sekeliling Kita




Hari ini seperti juga semalam dan hari-hari sebelumnya, telefonku tidak berhenti2 berdering. Panggilan yang silih berganti dari orang2 yang belum aku kenali. Adakalanya perbincangan terputus disebabkan kehabisan bateri...

Begitulah 'larisnya' aku dalam minggu ini. Mujurlah minggu ini merupakan minggu peperiksaan pelajar2ku, maka aku dapat melayan hampir semua panggilan yang kuterima.

"Puan, saya benar2 perlukan bantuan puan. Saya dah buntu tak tau apa yang harus saya buat sekarang. Anak saya perlu diselamatkan dan saya rasa tempat puan adalah yang paling sesuai....."

"Puan, boleh tak kalau saya datang temuduga kemasukan hari ini juga? Saya rasa dah tak boleh tunggu lagi ni....anak saya dah tak boleh dikawal lagi...."

"Boleh tak saya nikahkan dulu anak saya sebelum saya hantar ke pusat perlindungan puan?..."
"Saya mengenali Puan dan Pertubuhan puan melalui laman web. Saya yakin pihak puan dapat membantu saya mengatasi masalah ini. Tolonglah saya puan...."
"Saya memang tak sangka akan jadi macam ni. Anak saya ni baik, bertudung.... saya baru dapat tahu dia dah hamil 5 bulan....hancur luluh hati saya puan. Tolonglah saya puan..."

Entah di mana silapnya, pertanyaan2 di atas datang secara bertalu-talu dengan mendadak dalam minggu ini. Ibarat menduduki tangga teratas dalam Carta Pilihan nasyid. Aku menjadi terkedu....adakalanya terpaksa berlagak seperti seorang Kaunselor untuk meredakan keadaan.....Semua kes yang dilaporkan di atas adalah kisah benar yang melibatkan anak-anak remaja yang sedang bersekolah...

Begitulah realiti di sekeliling kita. Alangkah bejatnya keadaan masyarakat hari ini. Benarlah bagai dikata.....dunia ini dipenuhi oleh manusia2 yang zalim dan jahil.

Marilah bersama mengeluarkan diri kita dari kejahilan dan kezaliman....seterusnya mengeluarkan masyarakat dari kejahilan dan kezaliman....Masyarakat menantikan huluran tangan kita untuk membawa mereka keluar dari kegelapan kepada sinar cahaya keimanan.....

Marilah menggembeling tenaga untuk menyantuni mereka yang memerlukan bimbingan. Tiada lagi masa untuk berteori dan berpangku tangan.....

“ Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Surah Saba’, ayat 28)



Apr 27, 2010

Kasihnya Ibu



Hari ibu bakal menjelang lagi. Ia diperkenalkan oleh masyarakat barat sebagai tanda penghormatan kepada para ibu. Bagi umat islam, wajib menghormati dan meraikan ibu bukannya pada hari yang ditentukan sahaja, malah ia wajar diraikan setiap masa dan ketika. Namun, kadang-kala sebahagian dari kita terlupa kerana kesibukan mengejar pelbagai urusan. Mungkin dengan adanya Hari Ibu, lebih ramai lagi yang akan terus mengingati ibu mereka. Walaupun Islam tidak melarang sambutan hari ibu jika ia dilaksanakan dengan cara yang betul, namun hakikatnya ibu itu perlu dihormati sepanjang masa.


Kasih ibu sejati tiada bandingan dan tidak boleh dinilai dengan harta benda atau wang ringgit. Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan ini adalah kurniaan Allah kepada seorang wanita yang bergelar ibu. Keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung dan membesarkan anak juga tidak dapat dibayangkan sehingga seseorang itu sendiri menjadi ibu.
Oleh itu, penghormatan terhadap ibu perlu diutamakan.


Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredhaan Allah SWT.
Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan ah! Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri.


Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau akhirat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki”. (Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).


Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda yang bermaksud :

“Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati”.

Mar 19, 2010

Dilema: Laluan Mana?



Demam keputusan SPM kian beransur pulih. Pelbagai reaksi telah dipaparkan: gembira, terharu, sedih bahkan ada yang tidak terucap dengan kata-kata.


“Alhamdulillah….”, ringkas balasan sms saya kepada anak ketiga mengenai keputusan yang diperolehi. Walaupun tidak sehebat rakan-rakan yang lain, tetapi keputusan yang diperolehi melayakkan beliau untuk memohon kurus-kursus IPT di dalam dan luar Negara. Alhamdulillah, saya kira apa yang diterima sesuai dengan apa yang telah diusahakan selama ini, dan sudah tentu dengan izin Allah SWT jua.






D.I.L.E.M.A..….penyakit lain menggantikan demam yang kian pulih. Bagi yang memperolehi keputusan kurang memberansangkan, mungkin tidak banyak pilihan untuk meneruskan pengajian. Sekadar mencari ruang-ruang yang sesuai dengan kelayakan.


Bagi yang mencapai kejayaan gilang gemilang, bersimpang siur pilihan jalan di hadapan. Kursus apa? Universiti mana? Laluan mana yang ingin dipilih. Pengaruh rakan sebaya, kaum keluarga dan ibubapa memberikan peratus yang signifikan terhadap pemilihan kursus dan IPT.


Ada ibubapa yang dengan tegas membuat keputusan bagi pihak si anak berdasarkan hujah-hujah yang disepakati. Ada ibubapa yang menyerahkan sepenuhnya untuk anak-anak memilih.


Saya memilih jalan berdamai aka pertengahan. Meminta anak menyenaraikan kursus-kursus yang diminati dan mendengar hujahnya. Sentiasa menyokong pilihan anak setelah berpuas hati dengan hujahnya, malah akan mempertahankan sekiranya ada anasir-anasir yang cuba menggoyahkan pendirian.


Itu lumrah alam….tidak ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya terabai…sebaliknya sentiasa mahukan yang terbaik untuk masa depan anak-anak, diiringi restu dan doa yang dipanjatkan siang dan malam…


Untuk anak-anak di mana saja berada,

Tanamkan dalam diri anak-anak bahawa jalan perjuangan terbentang luas di hadapan. Jika segala kelengkapan dapat dipersiapkan dengan sebaiknya, sudah pasti umat islam akan dapat meraih kembali kejayaan dan kemuliaan yang pernah dimiliki.
Rasulullah SAW sendiri telah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam
sebagaimana tertera dalam sabdanya yang bermaksud:

“Allah telah mempersiapkan bumi ini untukku, maka aku pun melihat wilayah timur dan barat. Sesungguhnya umatku akan dapat memiliki apa yang telah Allah persiapkan untukku daripadanya…” (H.R. At Tirmidzi)






Semuga anak-anak semua berjaya di dunia dan akhirat….

Mar 1, 2010

Di sana Ada Saham Kita

Al Fatihah buat adik Syafia Humairah Sahari.





Semuga segala penderitaan yang dialami semasa di dunia, telah berakhir dan digantikan dengan kebahagiaan yang berkekalan di jannatul Firdausi. Ameen Ya Rabb!!


Tentu sekali tidak ada sesiapa pun yang tidak merasa sayu dan hiba apabila membaca berita yang cukup sadis mengenai pemergian Allahyarham adik Syafia Humairah Sahari. Tidak tergambar langsung di minda bagaimana kejamnya seorang manusia sanggup melakukan penderaan sedemikian rupa ke atas seorang kanak-kanak yang cukup comel dan manja. Hatta kepada binatang sekalipun, akal yang waras tidak sanggup untuk melakukannya,ini kan pula kepada seorang kanak-kanak yang baru belajar mengenal kehidupan.


Ini bukanlah kejadian pertama melibatkan penderaan dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang melibatkan ibu serta teman lelakinya. Apa yang lebih menyedihkan kejadian ini melibatkan pasangan melayu (baca beragama Islam). Disaat umat Islam sedang berada dalam suasana kembali mengingati perjuangan Rasul Agung sempena Maulidur Rasul, kita pula disajikan dengan satu kes perbuatan durjana manusia yang sudah tentu tidak pernah ada dalam ajaran Rasulullah SAW yang mulia.


Ramai yang merasa marah dan geram kepada si pembunuh. Akal yang waras sudah tentu merasakan sedemikian. Namun jangan lupa, satu lagi watak utama dalam sketsa ini tentulah ibu mangsa sendiri iaitu Siti Nurhanim Aziz.






Seorang WANITA yang masih berstatus isteri, tetapi disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki lain akibat kecundang dengan tarikan dan desakan hawa nafsu. Amat malang sekali wanita ini sekiranya telah memilih cara hidup sedemikian, sekaligus menyanggahi sifat asal wanita yang merupakan sebaik-baik perhiasan dunia.


“Sesungguhnya dunia ini seluruhnya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang sholihah.” (Hadis Riwayat Ahmad)


Bagi wanita yang sudah tidak dapat menjaga maruah dan kehormatan diri, maka sebenarnya dia telah memilih untuk meletakkan dirinya sebagai punca fitnah kepada kaum lelaki.


“Tidak ada suatu fitnah (godaan) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).



Meninjau dari perspektif yang berbeza, menyalahkan Siti Nurhanim semata-mata tanpa mengetahui sebab musabab berlakunya rentetan peristiwa tersebut juga tidaklah adil. Namun sekiranya beliau dapat mengawal hawanafsu tentulah itu jauh lebih baik baginya untuk kebahagiaan hidup di dunia lebih-lebih lagi diakhirat.


Allah SWT berfirman:
"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya”. Q.S. Al-Nâzi’ât:40.


Tindakan pantas meletakkan Siti Nurhanim dan dua orang anaknya di bawah JKM merupakan satu tindakan yang bijak. Usaha ini dilihat akan dapat menyelamatkan mereka sekeluarga dari terus terjebak dalam kemelut masalah sosial yang berpanjangan. Sebesar mana pun kesilapan yang telah beliau lakukan, sekiranya bersedia untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, pintu taubat terbuka seluas-luasnya dan di sana akan ada jalan pulang.


"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah At Tahrim: 8).


Yang pasti, ini merupakan satu lagi rentetan siri memperkasakan wanita.


Sebaliknya, apa akan terjadi dengan si pembunuh tersebut? Apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membawanya pulang ke pangkala jalan?? Atau akan dibiarkan berterusan mencari mangsa baru??


Berterusan mencari siapa yang bersalah tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian. Pernahkah kita terfikir bahawa dalam setiap perkara yang berlaku ke atas ahli masyarakat, di sana ada saham kita bersama. Sejauh mana kita telah melakukan pelaburan yang terbaik dalam usaha memenuhi tanggungjawab kita untuk memakmurkan bumi ini, sebagai khalifah Allah??

Tepuk dada tanyalah iman......

Feb 26, 2010

Salahkah Wanita???



WANITA KUASAI SEKTOR AWAM

Berita Harian 26 Februari 2010


KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam semakin meningkat sekarang.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.

Contohnya, kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita.


*****


Termenung sejenak apabila membaca berita DI ATAS. Sebelum ini kita sudah dilalikan dengan berita mahasiswi yang mendominasi IPTA dan IPTS seluruh negara. Seolah-olah ianya menjadi suatu corak yang saling berkait antara satu sama lain. Terlontar secara spontan satu persoalan di minda saya: SALAHKAH WANITA???

Setelah melalui zaman kegelapan berabad-abad lamanya di zaman jahiliyah, kini kaum wanita bangkit menerusi keistimewaan yang didatangkan bersama datangnya nur Islam. Pemerkasaan wanita yang dilaksanakan menurut batas-batas syariat tentunya menghasilkan sesuatu yang memberansangkan.

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (4:32).







Bagaimana nasib golongan lelaki?

“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. …..(An-Nisa’, ayat 34)


Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak untuk memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.


Malangnya kegagalan dalam kepemimpinan lelaki mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat ia diciptakan.


Kepincangan berlaku bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang, di sebalik ‘kedayusan’ yang telah tertanam dalam dirinya.


Marilah berusaha untuk menjadi manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud:


"Sesungguhnya orang lelaki dan perempuan yang Islam, lelaki dan perempuan yang beriman, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu', lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya (menjauhi diri daripada perbuatan zina), lelaki dan perempuan yang banyak mengingat Allah. Allah telah menyediakan bagi mereka ampunan dan pahala yang besar."
(Al-Quran, al-Ahzab, 33:35)



Lalu, adakah generasi lelaki yang baik semakin mengalami kepupusan ?

Ianya mungkin perlu dinilai sebagai suatu hakikat. Justeru hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan negara.


Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.


Akhirnya pemerkasaan kedua-dua pihak lelaki dan wanita haruslah dilihat dari sudut yang seimbang. Keseimbangan bermakna kesejahteraan kepada masyarakat dan Negara.


“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)



Feb 16, 2010

Antara Dua Darjat




Sudah tiga hari berturut-turut kita dikejutkan dengan berita pembuangan dan penemuan mayat bayi. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah. Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini. Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.



Ketiga-tiga peristiwa tersebut hanyalah secebis dari ratusan peristiwa yang tidak mungkin terakam oleh media. Mengapakah manusia sekejam itu? Membiarkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan nafsu durjana angkara hasutan iblis dan syaitan.





Mayat bayi yang tidak berdosa...Dimana letaknya akal dan budi??




Di penjuru kehidupan yang lain, saya memerhatikan dan kagum dengan sifat penyayang sang ‘pendatang, si hitam yang baru saja melahirkan empat ekor anak lima hari yang lalu. Walaupun telah kematian ‘suami’, si hitam menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih dan sayang. Tidak pernah sedetik pun ia meninggalkan anak-anaknya kecuali untuk ‘keperluan’. Pernah suatu pagi, ketika saya melangkah kaki untuk ke tempat kerja, seekor kucing jantan cuba menghampiri kotak tempat tinggal anak-anak sihitam. Ketika itu si hitam sedang berada di tepi sungai tidak jauh dari rumah. Melihat kelibat si jantan yang merupakan ancaman kepada anak-anaknya , sepantas kilat si hitam menyerang si jantan lantas terus melindungi anak-anaknya. Naluri keibuan saya begitu terusik dengan sifat keibuan si hitam. Melihat ia membesarkan anak-anak di depan mata, membuat saya terfikir dimanakah darjat manusia yang sanggup membuang anak sendiri??




Si Hitam sentiasa melindungi anak-anaknya dari sebarang gangguan.


Apakah perbezaan darjat antara manusia dan binatang jika itulah yang sanggup dilakukan, sedangkan manusia dikurniakan akal untuk dapat membezakan yang hak dan bathil.



Namun jika akal tidak digunakan untuk membentuk akhlak yg mulia, maka dibimbangi manusia akan tergolong kedalam golongan yg diibaratkan lebih hina daripada haiwan, sebagaimana firman Allah yg bermaksud:



“Dan sesengguhnya Kami(Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian drpd golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami akan ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mehu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat-ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah org2 yg lalai.” (Surah al-A’raf : 179)


Akal dijadikan sebagai alat untuk mencapai dan menuju kesempurnaan sebagai manusia yang mulia disisi Allah SWT. Manusia yang menggunakan akal untuk kesejahteraan diri dan masyarakatnya, akan sentiasa mencari dan menggunakan ilmu ke arah kebaikan.

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian. Tetapi kemudiannya Kami kembalikan mereka ke taraf yg serendah-rendahnya. Kecuali mereka yg beriman dan beramal soleh. Bagi mereka pahala yg tidak putus-putus.” (Surah At-Tin : 4-6)

Feb 7, 2010

Pemergiannya Suatu Tazkirah


Comot aka Momot…Gelaran yang kami beri kepada sang ‘pendatang’. Seekor anak kucing jantan yang dulunya datang bertandang ke rumah kami dalam keadaan yang sangat dhaif; kurus, comot dan berkurap, sesuai dengan nama yang diberi.

Kehadiran comot mengubah persepsi penghuni rumah ke atas seekor kucing. Dari bersikap tidak suka, geli dan takut kepada perasaan sayang dan kasihan. Kami rawat dan jaga comot ibarat menjaga seorang bayi..terutamanya Aisyah yang sangat perihatin terhadap Comot. Comot dimandikan, disapu ubat dan diberi makan secukupnya. Akhirnya membesarlah comot menjadi seekor kucing jantan yang jinak, bijak, comel dan manja. Membelai comot merupakan suatu terapi…menyeronokkan!! Ia amat mudah dibentuk, boleh mengurus diri untuk ke bilik air bila diarahkan. Pendek kata tidak menimbulkan banyak kerenah…



Pernah dua kali comot demam. Suhu badannya panas dan ia tidak berselera untuk makan. Dalam keadaan demikian, kami beri ia keistimewaan. Aisyah membawa comot tidur di dalam bilik, menjaga dan membelai. Begitulah akrabnya Aisyah dan comot.

Tanggal 6 Feb 2010, tepat jam 9.45 pagi saya dikejutkan dengan kiriman sms dari Sarah berbunyi:

“Umi, comot dan mati. Kena langgar. Abi tengah tanam comot”…

Terkedu saya seketika. Ibarat halilintar membelah bumi. Terbayang saat saya memberi comot makan ikan rebus manakala Aisyah memberinya minum susu, sebelum kami sama-sama melangkah keluar dari rumah pagi tadi. Saya keluar bekerja manakala Aisyah ke program motivasi di sekolah.

Saya meminta perkara ini dirahsiakan dari Aisyah sementara waktu. Setidak-tidaknya setelah Aisyah kembali ke rumah dalam keadaan selesa dan tenang. Sehari sebelum itu, Hitam ‘isteri’ comot, yang juga merupakan ‘pendatang’ ke rumah kami telah melahirkan empat ekor anak yang comel. Kesemuanya memiliki warna seperti comot. Sekaligus mengesahkan bahawa anak-anak ini adalah anak comot. Aisyah sangat gembira dengan kelahiran ini.



Petang itu, kami mengambil Aisyah di sekolah dan cuba merahsiakan perkara sebenar. Namun Aisyah telah terlebih dahulu membaca sms di dalam hp saya.

“Allah telah menggantikan comot dengan sesuatu yang lebih baik, empat ekor anak yang comel”, saya cuba memujuk Aisyah. Kesedihan tidak dapat dibendung. Aisyah menangis tersedu-sedu. Seharian beliau tidak berselera makan.


Begitulah suratan sebuah kehidupan. Comot hanya dipinjamkan seketika kepada kami. Kematian adalah sesuatu yang pasti kepada semua makhluk. Ia tidak akan dilengahkan atau dicepatkan walaupun sesaat.

“Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam Pengetahuan-NYA mengenai segala yang kamu kerjakan“ . (al-Munaafiquun : 11)

Sesunggguhnya pemergian comot yang tragis merupakan suatu tazkirah yang cukup bermakna. Betapa kehidupan silih berganti datang dan pergi. Apakah persediaan kita sebagai manusia untuk menghadapi saat yang sedemikian??

Muga sama-sama dapat kita renungkan…


Jan 26, 2010

Hakikat Sebuah Janji





Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9.45 malam. Bermakna telah 45 minit saya menanti di dalam kereta. Pertemuan sepatutnya diatur seawal jam 9 malam. Gundah dengan sebuah penantian, saya lantas menekan nombor pada talipon bimbit.


“Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Alina?”, spontan saya menyambut seruan hello di hujung talian.


“Lin,tak jadi datang ke?”, Tanya saya sebaik mendengar suaranya.


“Minta maaf kak, saya tak dapat penuhi janji kita hari ni. Banyak kerja kat rumah belum selesai. Kita jumpa hari lain kak ye?”, degup jantung berlari kencang mendengar ucapan ringkas darinya.


Saya mengurut dada sambil beristighfar memohon keampunan dan dijauhkan dari prasangka yang negatif.







Itulah hakikat sebuah janji. Islam menganggap janji adalah satu perkara yang besar.. Menunaikan setiap apa yang dijanjikan sangat dituntut dalam Islam sama ada perkara yang dijanjikan itu kecil ataupun besar selagi perkara itu tidak membawa kepada maksiat atau pergaduhan.


Sekiranya diragui tidak dapat menunaikannya, maka jangan sekali-kali membuat janji, kerana mengengkari janji adalah suatu perkara yang serius dan merupakan salah satu tanda daripada tanda-tanda orang munafik.


‘Tanda orang munafik itu ada tiga perkara; apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri janji dan apabila dia diamanahkan dia mengkhianati’. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jan 19, 2010

Tauladan Lebah




L.E.B.A.H….Menyebut namanya tergambar di ingatan tentang kesegaran madu lebah. Umum mengetahui kebaikan dan khasiat madu. Tetapi jarang sekali kita memikirkan bahagian manakah anggota lebah ini yang mengeluarkan madu?? Itulah keistimewaan pada penciptaan lebah.


Lebah tidak pernah menyendiri sebaliknya hidup dalam kumpulan yang besar. Setiap dari mereka mempunyai tugas masing-masing dalam bentuk kolektif. Susah senang dihadapi bersama.


Lebah juga tidak pernah melukai kecuali jika diganggu. Demi untuk mempertahankan “kehormatan”, mereka rela mati dengan melepaskan sengatan ke atas pihak yang menyerang.


Itulah beberapa karakter lebah yang patut ditiru oleh orang-orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut-nyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam Al-Quran sebagai salah satu nama surah: An-Nahl.





Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari tetapi jika ia mendatang pasti tidak akan lari.


Seorang mukmin juga haruslah menjadi manusia yang produktif dengan kebaikan. Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan. Hatinya jauh dari prasangka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik belaka; perilakunya tidak menyengsarakan orang lain melainkan membahagiakan semata-mata.


“Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu dan perbuatlah kebajikan (khair), supaya kamu mendapat kemenangan.” (Al-Hajj: 77)



Hari-hari yang dilalui penuh semangat berkarya dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan umat mukmin untuk bekerja dan beramal?
“Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (Alam Nasyrah: 7)


Bekerja secara jama’i dan patuh pada kepimpinan sewajarnya menjadi sifat orang beriman. Renungkan firman Allah berikut:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.” (Ash-Shaff: 4)