Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Mar 1, 2010

Di sana Ada Saham Kita

Al Fatihah buat adik Syafia Humairah Sahari.





Semuga segala penderitaan yang dialami semasa di dunia, telah berakhir dan digantikan dengan kebahagiaan yang berkekalan di jannatul Firdausi. Ameen Ya Rabb!!


Tentu sekali tidak ada sesiapa pun yang tidak merasa sayu dan hiba apabila membaca berita yang cukup sadis mengenai pemergian Allahyarham adik Syafia Humairah Sahari. Tidak tergambar langsung di minda bagaimana kejamnya seorang manusia sanggup melakukan penderaan sedemikian rupa ke atas seorang kanak-kanak yang cukup comel dan manja. Hatta kepada binatang sekalipun, akal yang waras tidak sanggup untuk melakukannya,ini kan pula kepada seorang kanak-kanak yang baru belajar mengenal kehidupan.


Ini bukanlah kejadian pertama melibatkan penderaan dan pembunuhan ke atas kanak-kanak kecil yang melibatkan ibu serta teman lelakinya. Apa yang lebih menyedihkan kejadian ini melibatkan pasangan melayu (baca beragama Islam). Disaat umat Islam sedang berada dalam suasana kembali mengingati perjuangan Rasul Agung sempena Maulidur Rasul, kita pula disajikan dengan satu kes perbuatan durjana manusia yang sudah tentu tidak pernah ada dalam ajaran Rasulullah SAW yang mulia.


Ramai yang merasa marah dan geram kepada si pembunuh. Akal yang waras sudah tentu merasakan sedemikian. Namun jangan lupa, satu lagi watak utama dalam sketsa ini tentulah ibu mangsa sendiri iaitu Siti Nurhanim Aziz.






Seorang WANITA yang masih berstatus isteri, tetapi disyaki mempunyai hubungan dengan lelaki lain akibat kecundang dengan tarikan dan desakan hawa nafsu. Amat malang sekali wanita ini sekiranya telah memilih cara hidup sedemikian, sekaligus menyanggahi sifat asal wanita yang merupakan sebaik-baik perhiasan dunia.


“Sesungguhnya dunia ini seluruhnya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang sholihah.” (Hadis Riwayat Ahmad)


Bagi wanita yang sudah tidak dapat menjaga maruah dan kehormatan diri, maka sebenarnya dia telah memilih untuk meletakkan dirinya sebagai punca fitnah kepada kaum lelaki.


“Tidak ada suatu fitnah (godaan) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).



Meninjau dari perspektif yang berbeza, menyalahkan Siti Nurhanim semata-mata tanpa mengetahui sebab musabab berlakunya rentetan peristiwa tersebut juga tidaklah adil. Namun sekiranya beliau dapat mengawal hawanafsu tentulah itu jauh lebih baik baginya untuk kebahagiaan hidup di dunia lebih-lebih lagi diakhirat.


Allah SWT berfirman:
"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya”. Q.S. Al-Nâzi’ât:40.


Tindakan pantas meletakkan Siti Nurhanim dan dua orang anaknya di bawah JKM merupakan satu tindakan yang bijak. Usaha ini dilihat akan dapat menyelamatkan mereka sekeluarga dari terus terjebak dalam kemelut masalah sosial yang berpanjangan. Sebesar mana pun kesilapan yang telah beliau lakukan, sekiranya bersedia untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, pintu taubat terbuka seluas-luasnya dan di sana akan ada jalan pulang.


"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah At Tahrim: 8).


Yang pasti, ini merupakan satu lagi rentetan siri memperkasakan wanita.


Sebaliknya, apa akan terjadi dengan si pembunuh tersebut? Apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membawanya pulang ke pangkala jalan?? Atau akan dibiarkan berterusan mencari mangsa baru??


Berterusan mencari siapa yang bersalah tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian. Pernahkah kita terfikir bahawa dalam setiap perkara yang berlaku ke atas ahli masyarakat, di sana ada saham kita bersama. Sejauh mana kita telah melakukan pelaburan yang terbaik dalam usaha memenuhi tanggungjawab kita untuk memakmurkan bumi ini, sebagai khalifah Allah??

Tepuk dada tanyalah iman......

No comments:

Post a Comment