Mar 19, 2010
Dilema: Laluan Mana?
Demam keputusan SPM kian beransur pulih. Pelbagai reaksi telah dipaparkan: gembira, terharu, sedih bahkan ada yang tidak terucap dengan kata-kata.
“Alhamdulillah….”, ringkas balasan sms saya kepada anak ketiga mengenai keputusan yang diperolehi. Walaupun tidak sehebat rakan-rakan yang lain, tetapi keputusan yang diperolehi melayakkan beliau untuk memohon kurus-kursus IPT di dalam dan luar Negara. Alhamdulillah, saya kira apa yang diterima sesuai dengan apa yang telah diusahakan selama ini, dan sudah tentu dengan izin Allah SWT jua.
D.I.L.E.M.A..….penyakit lain menggantikan demam yang kian pulih. Bagi yang memperolehi keputusan kurang memberansangkan, mungkin tidak banyak pilihan untuk meneruskan pengajian. Sekadar mencari ruang-ruang yang sesuai dengan kelayakan.
Bagi yang mencapai kejayaan gilang gemilang, bersimpang siur pilihan jalan di hadapan. Kursus apa? Universiti mana? Laluan mana yang ingin dipilih. Pengaruh rakan sebaya, kaum keluarga dan ibubapa memberikan peratus yang signifikan terhadap pemilihan kursus dan IPT.
Ada ibubapa yang dengan tegas membuat keputusan bagi pihak si anak berdasarkan hujah-hujah yang disepakati. Ada ibubapa yang menyerahkan sepenuhnya untuk anak-anak memilih.
Saya memilih jalan berdamai aka pertengahan. Meminta anak menyenaraikan kursus-kursus yang diminati dan mendengar hujahnya. Sentiasa menyokong pilihan anak setelah berpuas hati dengan hujahnya, malah akan mempertahankan sekiranya ada anasir-anasir yang cuba menggoyahkan pendirian.
Itu lumrah alam….tidak ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya terabai…sebaliknya sentiasa mahukan yang terbaik untuk masa depan anak-anak, diiringi restu dan doa yang dipanjatkan siang dan malam…
Untuk anak-anak di mana saja berada,
Tanamkan dalam diri anak-anak bahawa jalan perjuangan terbentang luas di hadapan. Jika segala kelengkapan dapat dipersiapkan dengan sebaiknya, sudah pasti umat islam akan dapat meraih kembali kejayaan dan kemuliaan yang pernah dimiliki.
Rasulullah SAW sendiri telah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam
sebagaimana tertera dalam sabdanya yang bermaksud:
“Allah telah mempersiapkan bumi ini untukku, maka aku pun melihat wilayah timur dan barat. Sesungguhnya umatku akan dapat memiliki apa yang telah Allah persiapkan untukku daripadanya…” (H.R. At Tirmidzi)
Semuga anak-anak semua berjaya di dunia dan akhirat….
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment