Comot aka Momot…Gelaran yang kami beri kepada sang ‘pendatang’. Seekor anak kucing jantan yang dulunya datang bertandang ke rumah kami dalam keadaan yang sangat dhaif; kurus, comot dan berkurap, sesuai dengan nama yang diberi.
Kehadiran comot mengubah persepsi penghuni rumah ke atas seekor kucing. Dari bersikap tidak suka, geli dan takut kepada perasaan sayang dan kasihan. Kami rawat dan jaga comot ibarat menjaga seorang bayi..terutamanya Aisyah yang sangat perihatin terhadap Comot. Comot dimandikan, disapu ubat dan diberi makan secukupnya. Akhirnya membesarlah comot menjadi seekor kucing jantan yang jinak, bijak, comel dan manja. Membelai comot merupakan suatu terapi…menyeronokkan!! Ia amat mudah dibentuk, boleh mengurus diri untuk ke bilik air bila diarahkan. Pendek kata tidak menimbulkan banyak kerenah…
Pernah dua kali comot demam. Suhu badannya panas dan ia tidak berselera untuk makan. Dalam keadaan demikian, kami beri ia keistimewaan. Aisyah membawa comot tidur di dalam bilik, menjaga dan membelai. Begitulah akrabnya Aisyah dan comot.
Tanggal 6 Feb 2010, tepat jam 9.45 pagi saya dikejutkan dengan kiriman sms dari Sarah berbunyi:
“Umi, comot dan mati. Kena langgar. Abi tengah tanam comot”…
Terkedu saya seketika. Ibarat halilintar membelah bumi. Terbayang saat saya memberi comot makan ikan rebus manakala Aisyah memberinya minum susu, sebelum kami sama-sama melangkah keluar dari rumah pagi tadi. Saya keluar bekerja manakala Aisyah ke program motivasi di sekolah.
Saya meminta perkara ini dirahsiakan dari Aisyah sementara waktu. Setidak-tidaknya setelah Aisyah kembali ke rumah dalam keadaan selesa dan tenang. Sehari sebelum itu, Hitam ‘isteri’ comot, yang juga merupakan ‘pendatang’ ke rumah kami telah melahirkan empat ekor anak yang comel. Kesemuanya memiliki warna seperti comot. Sekaligus mengesahkan bahawa anak-anak ini adalah anak comot. Aisyah sangat gembira dengan kelahiran ini.
Petang itu, kami mengambil Aisyah di sekolah dan cuba merahsiakan perkara sebenar. Namun Aisyah telah terlebih dahulu membaca sms di dalam hp saya.
“Allah telah menggantikan comot dengan sesuatu yang lebih baik, empat ekor anak yang comel”, saya cuba memujuk Aisyah. Kesedihan tidak dapat dibendung. Aisyah menangis tersedu-sedu. Seharian beliau tidak berselera makan.
Begitulah suratan sebuah kehidupan. Comot hanya dipinjamkan seketika kepada kami. Kematian adalah sesuatu yang pasti kepada semua makhluk. Ia tidak akan dilengahkan atau dicepatkan walaupun sesaat.
“Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam Pengetahuan-NYA mengenai segala yang kamu kerjakan“ . (al-Munaafiquun : 11)
Sesunggguhnya pemergian comot yang tragis merupakan suatu tazkirah yang cukup bermakna. Betapa kehidupan silih berganti datang dan pergi. Apakah persediaan kita sebagai manusia untuk menghadapi saat yang sedemikian??
Muga sama-sama dapat kita renungkan…
No comments:
Post a Comment