Apr 27, 2010
Kasihnya Ibu
Hari ibu bakal menjelang lagi. Ia diperkenalkan oleh masyarakat barat sebagai tanda penghormatan kepada para ibu. Bagi umat islam, wajib menghormati dan meraikan ibu bukannya pada hari yang ditentukan sahaja, malah ia wajar diraikan setiap masa dan ketika. Namun, kadang-kala sebahagian dari kita terlupa kerana kesibukan mengejar pelbagai urusan. Mungkin dengan adanya Hari Ibu, lebih ramai lagi yang akan terus mengingati ibu mereka. Walaupun Islam tidak melarang sambutan hari ibu jika ia dilaksanakan dengan cara yang betul, namun hakikatnya ibu itu perlu dihormati sepanjang masa.
Kasih ibu sejati tiada bandingan dan tidak boleh dinilai dengan harta benda atau wang ringgit. Kasih dan sayangnya ibu terhadap anak sukar digambarkan kerana perasaan ini adalah kurniaan Allah kepada seorang wanita yang bergelar ibu. Keperitan dan kesusahan yang dirasai oleh ibu ketika mengandung dan membesarkan anak juga tidak dapat dibayangkan sehingga seseorang itu sendiri menjadi ibu.
Oleh itu, penghormatan terhadap ibu perlu diutamakan.
Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredhaan Allah SWT.
Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan ah! Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri.
Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan setimpal dengan perbuatan mereka sama ada di dunia atau akhirat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tiga manusia tidak akan masuk syurga, iaitu orang yang menderhakai kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki”. (Riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim).
Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda yang bermaksud :
“Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment