Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Sep 23, 2010

Berlumba-lumba Membuat Kebajikan




Berbicara dengan seorang teman sekolah yang telah lama tidak ditemui memang menyeronokkan. Pelbagai berita dan cerita silih berganti. Tanpa disedari sudah lebih dua jam kami disitu, membicarakan kisah-kisah silam yang mencuit hati malah ada ketikanya menggegarkan minda kerana putaran roda kehidupan yang begitu pantas berlaku.

“Eh…apa perancangan kau bila dah pencen nanti ye”, tiba-tiba temanku itu mengalih topik perbualan. Entah apa yang berlegar di benaknya tidak pula ku ketahui.

“Kalau dipanjangkan umur, aku nak bersara awal…ambil optional…lepas tu fokus buat kerja-kerja kemasyarakatan. Rasanya habuan dunia ni dah cukup dah…..”, balasku selamba.

Kulihat dahinya berkerut, mungkin memikir sesuatu.

“Apa kerja-kerja kemasyarakatan yang kau nak buat tu?. Kau tak sayang dengan profesyen yang kau ada sekarang? Kau pasti ke kerja-kerja kemasyarakatan yang kau buat nanti tu boleh diterima oleh orang ramai? Kau nak buat kerja yang orang lain dah buat?….bertubi-tubi soalan keluar dari mulut rakanku ini.

Aku hanya membalas dengan senyuman diiringi sebaris ayat mudah:
“InsyaAllah…mudah-mudahan Allah menerima segala amal kebajikanku itu walaupun sekecil zarah…”

Sebelum berpisah petang itu, aku sempat berbisik kepadanya:
“Tapi….tak mesti tunggu pencen baru nak buat kebajikan kan…belum tentu umur kita mencecah pencen…Ruang untuk berbuat kebajikan terbentang luas cuma terserah pada kita samada nak buat atau pun tidak....”.
Kawanku mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiakan pendapatku itu.


Islam adalah agama kebajikan. Pengajarannya adalah untuk merealisasikan kedamaian dan kebaikan untuk semua makhluk. Terasnya adalah usaha untuk menegakkan kebenaran. Sebab itulah ia menjadikan usaha berbuat kebaikan adalah sejajar dengan kewajipan dalam mendaulatkan kebenaran.


Adakalanya dalam perjalanan hidup ini kita akan bertemu dengan manusia yang suka memandang remeh kepada kebajikan yang dianggap kecil atau sedikit. Oleh itu ia sering berasa segan malah kadang-kadang enggan melaksanakannya. Lebih teruk lagi ada yang sanggup mencipta pelbagai alasan semata-mata tidak mahu dilihat sebagai pemalas atau pesalah. Tanpa menyedari sebenarnya ajaran Islam amat menekankan tentang perlunya berbuat baik walau bagaimana kecil sekalipun nilainya. Besar atau kecilnya sesuatu itu bersifat relatif dan nisbi. Mungkin ianya dianggap kecil kepada orang tertentu atau dalam situasi tertentu tetapi besar maknanya kepada orang lain dan dalam situasi yang berlainan.


Oleh itu tidak hairanlah kalau Allah SWT telah berfirman dan Surah al Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud:

“Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarrah kebaikkan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarrah kejahatanpun ia pasti akan melihat padahnya”.


Firman Allah SWT lagi dalam Surah al Nisa’ ayat 4o bermaksud:

“Allah sedikitpun tidak menganiaya sesiapa walau sebesar zarrah pun. Malah kalau ada kebaikan yang dilakukan seseorang Allah akan menggandakan ( balasan)nya. Lebih jauh Allah akan menganugerahkannya dengan pahalaNya yang sangat banyak”.

Manakala dalam sebuah hadith Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sedekah satu dirham mendahului (dari segi martabat) sedekah seratus ribu dirham. Sahabat bertanya: Bagaimana boleh jadi begitu. Baginda menjawab. Seorang lelaki memiliki dua dirham sahaja dan dia lantas menyedekahkan satu dirham. Manakala yang seorang lagi balik rumah terus pergi mengambil seratus ribu dirham dari hartanya yang sangat banyak lalu ia menyedekahkannya”.





Pengetahuan mengenai kebaikan belum tentu boleh atau akan membawa seseorang itu segera melakukannya . Jadi untuk menggesa umat Islam supaya segera melakukan kebaikan maka Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali Imran 133-134 bermaksud:


“Berlumba-lumbalah untuk mendapatkan keampunan tuhan kalian di samping syurga yang luasnya seluas petala langit dan bumi. Syurga tersebut disediakan untuk orang yang betaqwa dan menginfaqkan harta mereka dalam keadaan senang dan susah”.


Marilah kita berlumba-lumba untuk membuat kebajikan. Sebaliknya usahlah kita mempersoalkan sebarang usaha kebaikan yang dilakukan oleh orang lain adakah ianya bermanfaat untuk ummah atau pun tidak. Kepada Allah jua kita akan kembali dan kepada Allah jualah kita berserah.

1 comment:

  1. yea...suka2 umi nak pencen...

    InshaAllah,ada manfaatnya :)

    ReplyDelete