Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Feb 27, 2009

BERSERAH PADAMU







TAWAKAL atau menyerahkan segala perkara kepada Allah adalah kunci utama dalam menghadapi sesuatu perkara. Apabila seseorang tidak bertawakal setelah berbuat sesuatu, ia akan mudah hilang pertimbangan dan akan mudah pula hanyut perasaan. Oleh yang demikian, tawakal memainkan peranan yang penting dalam mengiringi sesuatu usaha yang telah dilakukan.



Sifat tawakal boleh mendidik diri seseorang supaya sabar dan sentiasa menyerahkan segala urusan di tangan Allah Subhanahu Wata'ala. Walau bagaimanapun jika tawakal sahaja tanpa usaha, itu bukanlah tawakal yang dikehendaki oleh Islam. Oleh yang demikian, tidaklah boleh dikatakan bahawa tidak perlu belajar kerana jika Allah menghendaki seseorang itu pandai, maka tentulah ia akan pandai tanpa belajar, juga tidak perlu bekerja kerana jika Allah menghendaki seseorang itu kaya, tentu akan kaya juga. Cara berfikiran seumpama ini apabila diteruskan akan merosakkan akal fikiran dan boleh memesongkan keyakinan dan kepercayaan.



Maksud tawakal yang diperintahkan oleh Islam ialah berusaha dan berikhtiar terlebih dahulu sebelum menyerahkan keputusan kepada Allah. Di antara hikmat tawakal ialah melatih diri seseorang supaya rajin berusaha serta sentiasa berserah diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain daripada itu, ianya juga mendidik diri supaya bersifat reda akan takdir Allah Subhanahu Wata'ala.



Tujuan tawakal pula ialah supaya apabila seseorang itu gagal dalam usahanya, ia tidak akan menyalahkan takdir, malah ia akan berusaha lebih giat lagi serta tidak jemu-jemu menyerahkan segala-galanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala.



Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 11, yang tafsirnya:

"Maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri."



Dalam sebuah hadis ada menyebutkan bahawa syurga balasan bagi orang yang benar-benar bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim,
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Akan dimasukkan ke syurga orang-orang yang hati mereka seperti hati burung (yakin benar-benar berserah dan percaya kepada jaminan Allah pada dirinya)."



Begitulah besarnya peranan tawakal dalam kehidupan kita. Dengan adanya sifat tawakal sudah tentulah kita berserah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam apa jua keadaan.


Feb 26, 2009

IKHLAS?? TIDAK SEMUDAH ITU....




Merenung sejenak ke dalam diri sepanjang hari ini.....

Apakah yang telah dilakukan sebagai amalan baik yang diterima di sisi Allah SWT??

Sekadar ingin berkongsi kembali tazkirah ringkas mengenai keikhlasan......


Amal-amal soleh itu berbeza mengikut darjat keimanan dan keikhlasan seseorang. Bersabda Baginda Rasulullah SAW:

”Dua orang yang sedang bersolat berada di saf pertama berbeza pahalanya kerana perbezaan keimanan dan keikhlasannya kepada Allah SWT.



Begitu juga dalam beberapa sirah berikut:


Peristiwa perempuan berzina yang masuk syurga kerana memberi minum kepada anjing. Ini tidak bermakna semua perempuan yang berzina akan masuk syurga sekiranya melakukan perkara yang sama kerana perbezaan keimanan dan keikhlasan.


Kisah seorang sahabat yang membuang duri dari jalan. Ini juga dianggap satu ibadah yang tinggi nilainya. Walau bagaimanapun sebenarnya ia tertakluk kepada keikhlasan dan ketinggian imannya kepada Allah SWT.


Satu lagi contoh, ada seorang sahabat yang berkali-kali ditangkap kerana meminum arak. Tatkala kali terakhir beliau ditangkap dan akan dilaksanakan hudud, para sahabat melaknat sahabat ini kerana berkali-kali ditangkap minum arak, dianggapkan beliau tidak serik dan tidak mahu bertaubat. Rasulullah melarang mereka melaknat sahabat ini kerana sahabat ini amat mencintai Allah dan Rasulullah.


Infaq (harta) para sahabat adalah sedikit sekiranya dibandingkan dengan orang lain. Tetapi nilainya adalah amat besar dan tinggi di sisi Allah, melebihi berat gunung Uhud kerana keimanan dan keikhlasan mereka yang jauh melebihi orang-orang lain. Para sahabat rata-rata adalah di kalangan orang-orang yang tidak berharta (miskin) tetapi masih dapat memberi infaq yang tinggi dan berharga.


Saad abi Waqas dijanjikan sebagai ahli syurga oleh Rasulullah SAW. Seorang sahabat ingin meninjau lebih lagi apakah amalan-amalan yang dilakukan Saad yang menyebabkan beliau dijanjikan syurga oleh Rasulullah. Apabila sahabat ini bermalam di rumah Saad, beliau tidak nampak Saad melakukan qiam dan membaca Al-Quran. Apabila sahabat ini menanyakan Saad, bagaimana Rasulullah menjanjikan beliau sebagai ahli syugra sedangkan Saad tidak melakukan ibadah-ibadah besar? Saad menjawab, sebelum tidur, beliau akan menghisab dirinya sendiri dan membuang segala perasaan hasad dan meredhai semua sahabatnya. Melihatkan kelebihan ini, sahabat itu akur akan kelebihan yang ada pada Saad yang meletakkannya di dalam martabat yang dinyatakan Rasulullah.


Hati-hati seumpama bekas-bekas di muka bumi ini. Bekas yang paling disukai ialah yang paling utuh dan kuat dan juga suci dan bersih. Hati yang paling dihajati adalah yang mudah tersentuh dan mudah bermanfaat melalui penyucian diri dengan Al-Quran.


Feb 25, 2009

TRAGEDI GAZA KIAN DILUPA



Tanggal 27 disember 2008 mencatit sejarah

Mengiringi kemunculan fajar baru 1430 Hijrah

Di sebalik kedamaian alam yang kian menerjah

Nafsu syaitan zionis kian serakah

Serangan roket kembali menerjah

Ingin melupuskan tanah barakah



Tragedi Gaza

Pembantaian terus berleluasa

Angkara siapa

Kalau bukan zionis durjana

Seluruh dunia rasa terpana

Mengundang simpati naluri manusia

Di sini disana

Protes ada di mana-mana

Tanpa mengenal usia

Tanpa mengenal bangsa

Tanpa mengenal warna



Ibu bertuah itu berkata

Usah gentar dan berdukacita

Walau anak-anak tercinta

Gugur syahid di persada

Pasti akan lahir kembali

Beribu putera dan serikandi

Meneruskan intifada suci

Kerna di sana al Firdausi setia menanti



Anak kecil hebat itu bersuara

Kami tidak pernah curiga dan kecewa

Walau terus diuji bencana dan petaka

Malah kami sentiasa berbangga

Menerima amanah yang Maha Esa

Kami terus berdoa

Muga kami dianugerahi syuhada



Kini

Kota Gaza kian menyepi

Seluruh dunia seolah melupai

Kedurjanaan dan pembohongan disusun rapi

Tragedi Gaza kian dilupa

Manusia mudah diperdaya

Tidakkah kita membuka mata

Palestin, Baitul Maqdis, Al Aqsa

Ada hutang yang belum disempurna

Ada janji yang belum dikota

Sampai bila harus kita alpa



Palestin…..

Baitul Maqdis……

Al Aqsa……

Tragedi Gaza…..

Kian dilupa….


WAJARKAH IA????



Feb 24, 2009

BUKAN SEKADAR ISTERI.......



Persoalan mengenai wanita merupakan salah satu perkara yang semakin hangat diperkatakan dewasa ini. Wanita sering dikaitkan dengan peranan utama mereka dalam berbagai aspek penting demi menjamin keharmonian rumahtangga, masyarakat dan negara. Namun hakikatnya yang berlaku hari ini sama ada secara sedar atau tidak peranan-peranan yang telah dikhususkan kepada kaum wanita telah diselewengkan sehingga telah menimbulkan berbagai-bagai implikasi buruk terhadap diri sendiri, keluarga , masyarakat dan juga negara. Ini terbukti dengan bertambahnya bilangan wanita yang rosak akhlak, kadar kes perceraian yang tinggi serta berleluasanya perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anak-anak muda akibat dari salah asuhan atau pengaruh persekitaran. Fenomena yang berlaku ini sudah sewajarnya dipandang serius kerana keutuhan masyarakat pada masa akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana wanita menangani permasalahan yang berlaku secara bijaksana.



“Gadis yang sedang mekar hari ini akan menjadi ibu hari esok, jika mereka terdidik atas dasar takwa dan ilmu, merekalah wanita sempurna” (Che Zainon Yusof: 1995)



1. Peranan Utama Wanita



Firman Allah dalam Surah az-Zariyat ayat 56 bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”

Dari ayat di atas jelas menunjukkan bahawa peranan atau pun tanggungjawab utama para wanita adalah sama dengan para lelaki iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Adalah menjadi kewajipan semua wanita muslim untuk berusaha sebaik mungkin agar dapat menjadi seorang mukminat yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT semata-mata dengan melaksanakan segala perintah Allah dan RasulNya serta menjauhi segala yang ditegah. Kekuatan iman yang jitu merupakan asset terpenting bagi seorang wanita agar ia menjadi benteng yang kuat bagi mengharungi sebarang bentuk cabaran mendatang.



2. Wanita dan Keluarga/Rumahtangga



Peranan wanita dalam keluarga atau rumahtangga adalah merupakan satu amanah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya menunaikannya sebagaimana FirmanNya di dalam Surah an-Nisa’ ayat 58 bermaksud:



“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat:”



Dalam sesebuah rumahtangga , dua peranan utama yang sewajarnya dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan juga sebagai seorang ibu. Seorang isteri yang sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau pun senang dan seorang ibu yang terlibat secara langsung di dalam memberi pendidikan kepada anak-anak serta menjaga hal-ehwal pengurusan rumahtangga dengan bantuan suami.



3. Wanita dan Kerjaya



Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor , tenaga pengajar kepada kaum wanita serta lain-lain bidang yang bersesuaian. Bagaimana pun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu:



· Kerja-kerja itu mestilah yang bersesuaian dengan sifat kewanitaan

· Kerja-kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu

· Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau untuk

menyampaikan kesedaran Islam kepada para wanita lain

· Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat

· Sentiasa menjaga tatsusila dan terhindar dari berlakunya

pergaulan bebas dengan lelaki

· Mendapat restu dari penjaga, bapa atau suami

· Mengelak dari melakukan perkara-perkara yang boleh membawa fitnah

sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.


Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawabnya yang utama sebagai serikandi dan bidadari di dalam rumahtangga suaminya.



4. Wanita dan Tanggungjawab Sosial


Apabila memperkatakan tentang peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, sejarah telah pun membuktikan bahawa semenjak zaman Rasulullah saw lagi kaum wanita secara aktif telah memainkan peranan mereka mengikut batas-batas yang ditetapkan. Misalnya kaum wanita telah bersama-sama dengan kaum lelaki mempelajari ilmu-ilmu dan petunjuk Islam. Ada di antara mereka telah meriwayatkan hadis-hadis nabi bahkan saidatina Aishah sendiri telah menunjukkan ketokohannya sebagai seorang yang mencapai kedudukan ilmu yang tinggi sehinggakan sahabat-sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Osman bertanya kepadanya mengenai ilmu faraid.

Wanita juga berperanan sama dengan lelaki dalam usaha untuk membendung keburukan yang berlaku dalam masyarakat kerana ini adalah tanggungjawab setiap Muslimin dan Muslimat.

Sebagaimana Firman Allah dalam Surah ali-Imran ayat 110 bermaksud:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”.

Kepincangan dan kebejatan yang berlaku terutamanya di kalangan muda-mudi hari ini sewajarnya menarik perhatian wanita untuk sama-sama berganding bahu mencari penawar yang paling mujarab.Tugas ini sememangnya berat dan memerlukan kesabaran, ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.




5. Menangani Peranan Wanita secara bijaksana



Situasi semasa secara tidak langsung telah memaksa kaum wanita memainkan peranan yang seimbang di antara alam rumahtangga dan dunia masyarakat luar. Hal ini sebenarnya merupakan cabaran besar kepada wanita dan sekaligus telah meletakkan kaum wanita di persimpangan .

Persoalannya ialah sejauh manakah seseorang wanita itu mampu melaksanakan semua tanggungjawab di atas secara serentak atau wajarkah wanita mengabaikan salah satu unsur daripadanya?? Jawapannya sudah pasti terletak di tangan wanita sendiri. Sesungguhnya golongan wanita sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan dari semua pihak agar dapat menjalankan tugas dan tanggung jawab secara lebih berkesan. Perkara-perkara berikut antara panduan yang boleh digunakan oleh kaum wanita untuk membantu mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut.

a. Sentiasa memantapkan keimanan kepada Allah SWT dan meyakini akan pertolonganNya. Keimanan yang mendalam akan dapat melahirkan wanita yang yakin pada dirinya sendiri dan mampu meneroka segala potensi yang dianugerahkan oleh Allah SWT.


b. Melengkapkan diri dengan tiga ciri utama :

· Ilmiyah iaitu mengetahui sebanyak mungkin ilmu agama dan lain-lain jenis ilmu termasuklah mengetahui hak-hak sebagai seorang wanita menurut perspektif Islam.

· Siasah iaitu cuba memahami perkembangan politik tempatan dan antarabangsa bertujuan untuk meluaskan fikiran dan pandangan sebagai seorang wanita yang peka kepada isu-isu sawarjagat.

· Amaliyyah iaitu mengamalkan apa yang dipelajari dan difahami secara ilmiyah


  1. Mendapatkan sokongan dan pengiktirafan dari orang yang paling hampir
sama ada suami, ibu bapa atau keluarga. Sokongan dan kebersamaan

mereka ini menjadi penggerak utama kepada tugas-tugas seorang wanita.

  1. Mempelajari secara bersungguh-sungguh bagaimana untuk menguruskan
masa dengan lebih sistematik.

  1. Perlu ada perancangan kerja dan laksanakan kerja-kerja mengikut
susunan keutamaan.

  1. Sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan keluarga mertua
sepertimana ia menjaga hubungan baik dengan keluarganya sendiri.

  1. Sentiasa menilai perlakuan diri sendiri atau memuhasabah untuk
mengukur sejauh mana baik buruknya sesuatu tindakan atau

perkara yang telah dilakukan.

  1. Sentiasa beristighfar dan memohon kemapunan kepada Allah SWT
di atas kesilapan yang telah dilakukan sama ada disedari atau pun tidak.

  1. Berlapang dada di atas teguran-teguran membina yang telah diberi
oleh sesiapa sahaja bertujuan untuk memperbaiki diri.

  1. Melakukan kerja-kerja kebajikan umum secara amal jamai supaya
pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan tersusun.


Berbahagialah wanita yang dapat menjalankan tugas di atas dan memainkan peranannya sebagai seorang wanita cemerlang mengikut kacamata Islam. Yakinlah dengan janji Allah sebagaimana FirmanNya dalam surah an_Nahl ayat 97 yang bermaksud:


“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki atau wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan”.



KUKUHKAN PERSAUDARAAN



Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13:

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya kami telah menciptakan kalian terdiri daripada lelaki dan perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya manusia yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi ketaqwaannya Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenali.


Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya : Perumpamaan orang Islam dalam ikatan persaudaraan berkasih sayang diibaratkan sekujur tubuh, jika salah satu anggota badannya ditimpa kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya dan tidak dapat tidur.


Kedua-dua ayat dan hadis di atas jelas membuktikan bahawa rasa kasih sayang di antara sesama manusia merupakan fitrah semula jadi dan realiti yang semestinya diterima oleh setiap insan yang berakal. Wujudnya sifat ini dapat membantu melahirkan masyarakat harmoni yang diliputi suasana saling sayang menyayangi dan hormat menghormati kerana Allah SWT dan seterusnya akan lahirlah suasana kemananan dan kedamaian di atas muka bumi ini.


Islam mendidik umatnya untuk memahami erti kehidupan yang sebenar iaitu tidak melaksanakan sesuatu perkara mengikut kepentingan diri sendiri semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira hak-hak dan kepentingan orang lain. Oleh sebab itu, salah satu tanda wujudnya persaudaraan yang luhur ialah ketika mana kita merasa senang dan tenang apabila melihat saudara kita beroleh kebaikkan dan kesenangan bahkan kita akan turut sama membantu mereka mencapai kebaikan dan kesenangan tersebut.


Peristiwa tsunami yang melanda rantau asia benar-benar merupakan satu kejutan dan petunjuk bahawa setiap sesuatu itu pasti berlaku mengikut ketentuan Allah SWT, sekaligus peristiwa itu juga telah menanamkan bibit-bibit persaudaraan yang erat tanpa mengenal sempadan. Dalam menghadapi situasi yang begitu menyayat hati, semua pihak sanggup melupakan persengketaan dan permusuhan antara satu sama lain bahkan saling berganding bahu membangunkan semula kehancuran yang telah berlaku.


Sebenarnya Islam melarang setiap individu melakukan segala bentuk akhlak yang tidak baik terhadap individu yang lain kerana ia akan menyumbang kepada keretakan hubungan sesama Islam dan menyebabkan perpecahan . Antara perlakuan yang mesti dihindari ialah:


1. Hasad dengki:

Iaitu rasa kurang senang terhadap nikmat yang dikecapi oleh orang lain, lalu mengharap-harapkan agar nikmat itu terhapus daripadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya :

“Janganlah kamu saling benci membenci, dan janganlah kamu saling berdengki-dengkian, dan janganlah kamu saling bermusuh-musuhan. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Menaruh perasaan dengki terhadap nikmat dan kesenangan yang dikecapi oleh orang lain sehingga menimbulkan kebencian terhadapnya samalah seperti tidak menyukai dan tidak meredhai ketentuan Allah dalam melebihkan setengah hambaNya ke atas setengah yang lain. Ini boleh melemahkan dan merenggangkan ikatan persaudaraan sesama Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Tidak (dibenarkan) hasad dengki melainkan pada dua perkara, (iaitu): Seorang yang dikurniakan oleh Allah harta yang banyak, lalu dia menaburkan harta itu pada perkara-perkara yang benar, dan seorang yang diberikan oleh Allah ilmu, lalu dia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya (kepada orang lain).”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


2. Menganiaya dan membiarkan saudara Islamnya dianiaya:

Seseorang muslim itu tidak sepatutnya membiarkan saudaranya disakiti oleh orang lain atau membiarkan sesuatu keadaan yang boleh menyakitinya. Bahkan berkewajipan ke atasnya untuk menolong dan mempertahankannya.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

“Seorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim (yang lain). Tidak boleh menganiaya dan membiarkannya dianiaya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


3. Tidak menegur sapa:

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Tidak halal bagi seorang muslim memutuskan saudaranya (tidak menegur sapa) lebih daripada tiga hari; bila keduanya bertemu maka yang seorang ini berpaling dan yang seorang lagi membelakangi. Dan orang yang lebih baik dari keduanya ialah orang yang memulakan dengan ucapan salam. ”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sekiranya perselisihan telah berlaku maka hendaklah kita berusaha untuk mengembalikan hubungan yang terputus dengan mengambil tindakan permulaan iaitu memberi salam dan seterusnya memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan. Ini akan menjernihkan semula hubungan yang telah keruh.


Di samping itu Islam juga telah menggariskan beberapa perkara yang sewajarnya dilaksanakan oleh setiap individu muslim dalam usaha untuk mengukuhkan tali persaudaraan yang telah sedia ada. Diantaranya ialah:


1. Bantu membantu dan tolong menolong:

Antara ciri-ciri penting dalam mengukuh tali persaudaraan itu ialah adanya sikap saling bantu membantu atau tolong menolong, kerana apalah ertinya persaudaraan jika kita tidak mahu menolong saudara kita disaat dia memerlukannya Dari sikap tolong menolong inilah akan membuahkan perpaduan dan kekuatan ummah.

Baginda bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain adalah seperti satu binaan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Al-Qur’an Al-Karim memerintahkan dan mewajibkan tolong menolong, dengan syarat jenis tolong menolong itu hendaklah pada perkara kebajikan dan taqwa. Sebaliknya menegah dan mengharamkan jika sekiranya tolong menolong itu pada perkara maksiat dan permusuhan. Firman Allah Ta‘ala yang maksudnya :

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 2)


2. Memberi salam dan berjabat tangan:

Apabila seorang muslim berjumpa dengan seorang muslim yang lain digalakkan ke atasnya memberi salam kerana ia merupakan kunci yang membawa kepada terjalinnya hubungan persahabatan dan persaudaraan. Dengan menyebarkan salam di kalangan sesama Islam akan menerbitkan kasih sayang di antara satu sama lain. Hal ini jelas sebagaimana tersebut dalam satu riwayat yang maksudnya :

“Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan iman kamu tidak akan sempurna sehinggalah kamu sayang menyayangi, dan tidakkah aku tunjukkan kepada kamu akan sesuatu apabila kamu melakukannya kamu akan saling sayang menyayangi? Kamu ucapkanlah salam di antara kamu.”

Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya supaya berjabat tangan apabila berjumpa antara satu sama lain. Diriwayatkan daripada Al-Baraa’ bin ‘Aazib Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

“Tidak ada dua orang Islam yang bertemu lalu berjabat tangan, melainkan diampuni dosa kedua mereka sebelum keduanya berpisah.” (Hadits riwayat At-Tirmidzi)


3. Menghadiahkan senyuman apabila berjumpa:

Menunjukkan wajah yang manis dan ceria, kemudian dihiasi dengan senyuman ketika setiap kali berjumpa atau bertemu sesama saudara Islam merupakan satu akhlak yang baik yang dapat mengukuhkan tali persaudaraan. Jenis kebaikan akhlak ini nampak kecil tapi memberi kesan yang amat besar dalam jalinan hubungan persaudaraan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Jangan sekali-kali engkau meremehkan sesuatu daripada kebaikan walaupun hanya dengan menunjukkan kepada saudaramu wajah yang manis.” (Hadits riwayat Muslim)


4. Mengucapkan tahniah dan mendoakan supaya mendapat keberkatan pada peristiwa-peristiwa kebaikan serta :


5. Mengucapkan takziah dan menziarahinya apabila mereka ditimpa ujian kesusahan dan musibah.


Akhirnya bermunajatlah kepada Allah semoga usaha-usaha yang telah kita lakukan akan dapat menyatukan hati-hati, menjadikan kita saling mencintai karena Allah sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi, Rasululllah SAW bersabda:

"Di sekitar Arsy ada menara-menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang-orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah-wajah mereka bercahaya. Mereka bukan para nabi atau syuhada'. Ketika ditanya para shahabat, Rasulullah menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai karena Allah, saling bersahabat karena Allah dan saling kunjung karena Allah."


Sesungguhnya Allah jua yang berkuasa melembutkan hati-hati seluruh makhluknya sebagaimana FirmanNya yang bermaksud:

"Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana." (Al Anfaal:63)

PUISI UNTUKMU WANITA




PUISI UNTUK MU WANITA


Wanita …..

Namamu segar jadi sebutan

Di bahumu tersandar harapan

Meneruskan misi perjuangan

Menegakkan kalimah kebenaran






Wanita …..

Kau wanita mithali

Jadilah seorang serikandi

Hadirmu kan tetap dinanti

Pergimu pasti ditangisi



Ayuh Wanita .....

Bangun teruskan Islah

Menambat jiwa nan resah

Menjadi insan yang bermaruah

Kehadrat Ilahi kita berserah……

STRES


Kerja banyak….

Tugasan tak siap….

Minggu depan exam, belum study lagi...

Hah!! Tension!!


STRESSSSS…….apa tu??


STRES berkait rapat dengan tekanan jiwa yang ditanggung oleh seseorang disebabkan oleh kepayahan yang dialami dalam kehidupan seharian. Ianya mungkin berpunca dari tregedi yang menimpa keluarga terdekat, beban tugas di pejabat terlalu banyak, beban kerja sekolah, bimbang mengenai hari peperiksaan yang semakin hampir dan lain-lain lagi.


Dengan lain perkataan,stres ialah tekanan ke atas minda,hasil dari tindak balas terhadap perubahan/rangsangan yang berupa cabaran/masalah yang menimbulkan percanggahan dengan nilai,maruah/gaya hidup yang normal.


Anda sedang melaluinya…..

Jom baca seterusnya…..


TIPS MENANGANI STRES


1. Hadapi dan luahkan stress samada dengan menyanyi,ketawa,menangis,dan lain-lain cara. Ekspresi seperti ini akan menggalakkan penyembuhan..Satu lagi cara ialah dengan menulis diari stres setiap hari.Dengan cara ini kita akan meluahkan segala yang terbuku di hati dan menyalurkannya ke arah yang lebih positif.


2. Dalam banyak hal apabila berdepan dengan masalah kita akan bertindak samada berdepan (lawan), lari atau bertenang (tidak mengendahkannya). Bila berdepan dengan stress adalah lebih baik mengarah diri untuk memikirkan ”Apakah yang boleh saya lakukan sekarang ini untuk mengurangkan stres?” Kita akan dapati bahawa selepas 15 minit melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan,kita akan makin hampir dengan penyelesaian. Sebaliknya, dengan melengahkan penyelesaian, beban stres akan terkumpul dan adakalanya menjadi kronik.


3.Berkongsi masalah dan minta pertolongan, nasihat serta sokongan dari keluarga, kawan-kawan, ahli komuniti dan sesiapa saja yang rapat dengan kita akan dapat meringankan stres yang terhasil.


4.Kegiatan’Distraction’.

Berkomunikasi dengan orang lain dan bercakap tentang hal-hal lain yang tiada kaitan dengan punca stres. Libatkan diri dalam aktiviti yang memberi kepuasan fizikal dan mental seperti riadah, muzik, masakan, bersiar-siar, berkebun dan sebagainya.


5.Layan atau manjakan diri.

Rehat-jauhi daripada situasi stress. Boleh dilakukan dengan cara bersauna, spa, berendam air panas dan seumpamanya tetapi perlu menjaga makanan ,kurangkan teh,kopi,daging udang ,jauhi rokok. Lebihkan sayur dan buah-buahan.


6.Luahkan Emosi

  • Bercerita pada rakan,kaunselor. Luahkan perasaan pada kertas,pita rakaman,objek seperti dinding,anak patung dan lain-lain.
  • Menangis sepuas-puasnya ,jerit,pukul bantal atau bersiar-siar samada bersendirian atau berkawan.
  • Lakukan kerja kreatif seperti melukis,menulis sajak,menyanyi

7. Paling penting dalam apa situasi sekalipun,bawa diri bertenang. Jangan biarkan ia berlarutan kerana stres boleh membawa kemusnahan yang lebih teruk seperti jatuh sakit, akibatnya terbantut segala usaha yang sedang dilakukan untuk mencapai kejayaan.


APA PENDIRIAN ISLAM DALAM MENGHADAPI MASALAH?


Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Ibarat kata para ulama’:

”Menutup segala pintu yang membawa kepada kerosakan.”


Jika masalah telah wujud, usaha mencegah tetap perlu berjalan serentak dengan mengubati.


Sebagai Muslim, yakinlah dengan pertolongan Allah dan berdoalah supaya diberikan ketenangan dan dikembalikan kesejahteraan.


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)seperti yang telah berlaku kepada orang –orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan di serang penyakit,serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh),sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya :”Bilakah (datangnya)pertolongan Allah?” Ketahuilah,sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat(asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)”.

(Surah Al-Baqarah,Ayat 214)