Jan 27, 2011
Yang Kurik itu Kendi, Yang Merah itu Saga
Pagi itu saya agak lewat tiba ke pejabat kerana laluan yang agak sesak di awal minggu. Saya bergegas ke perhimpunan pagi, suatu acara mingguan di tempat kerja. Oleh kerana masa yang suntuk, saya hampir terlanggar seorang pelajar di dalam perjalanan menuju ke dewan.
“Maafkan saya puan, saya tak perasan. Saya janji lain kali saya akan lebih berhati-hati….”, berkali-kali pelajar berbangsa Tionghua itu menundukkan kepala sambil memohon maaf atas ketidaksengajaannya itu. Saya tersenyum sambil menganggukkan kepala sebagai tanda permintaannya diterima….sedangkan dalam hati berkata… “aku yang bersalah sebenarnya…”.
Seusai perhimpunan, saya bergerak menuju ke bilik kerja untuk meneruskan tugas hari itu. Di sepanjang perjalanan bertemu dengan beberapa orang pelajar yang langsung tidak mengucapkan samada ‘selamat pagi’ atau ‘Assalamualaikum’ kepada saya, sebaliknya saya yang memberi ucapan salam kepada mereka.
Sewaktu mengendalikan sesi Tutorial bersama pelajar, seorang pelajar tiba-tiba mencelah sambil berkata, “Tau takpe”…satu ungkapan yang biasa di dengar menyebabkan kita tidak merasakan ia suatu yang ganjil. Sedangkan bagi saya ia seolah-olah mempamerkan sikap ‘kurang ajar’ pelajar berkenaan apabila berbicara dengan orang yang lebih dewasa.
Persoalan yang bersarang diminda saya:
Apakah perasaan saling menghormati sudah semakin terhakis dalam kalangan generasi pelajar/muda terhadap orang yang lebih tua?
Mungkinkah ada perbezaan antara ‘ras’ atau berdasarkan latarbelakang didikan keluarga?
Adakah bahasa-bahasa slanga (??) seperti di atas telah dapat diterima pakai dalam norma kehidupan kita masa kini. Ungkapan lain yang popular, “Ada aku kisah” dsbnya telah digunakan dengan meluas tanpa mengira suasana dan tempat. Samada bersama rakan sebaya mahu pun bersama orang yang lebih dewasa; ayah,ibu, datok dan nenek.
Kemana hilangnya pepatah:
Yang kurik itu kendi yang merah itu saga;
Yang baik itu budi yang indah itu bahasa.
Amalan berbudaya bahasa menzahirkan rasa hormat antara satu sama lain,contohnya orang muda menghormati orang tua, anak menghormati ibu bapa,murid menghormati guru. Dengan jelasnya kita dituntut menghormati orang tua dan menyayangi orang muda. Firman Allah SWT:
“Dan mereka diberi petunjuk (didunia) dengan mengucapkan kata-kata yang baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji”. (Al-Hajh ayat 24)
Islam dengan jelas mengingatkan tahap ketinggian iman dengan budi pekerti luhur. Didalam beberapa hadis Rasulullah SAW ada menyebutkan bahawa mereka yang terbaik budi pekertinya adalah merupakan hamba yang paling dicintai Allah, mukminin yang paling sempurna imannya dan paling dekat dengan Rasulullah SAW di hari akhirat kelak. Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang pilihan di kalangan kamu ialah yang paling indah budi pekertinya dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik terhadap isterinya”.
(Riwayat At-Tarmizi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment