Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Dec 13, 2010

Di Penghujung Usia






Selesai urusan menemuduga sepasang suami isteri yang ingin mengambil anak angkat di Raudhatus Sakinah, saya bergegas pulang ke rumah untuk menghantar anak-anak membeli persiapan ‘back to school’ di plaza angsana. Jam waktu itu telah menunjukkan jam 12.30 tengahari.

Seperti biasa saya akan pastikan keperluan asasi anak-anak dipenuhi terlebih dahulu. Ini antara teori psikologi yang menjadi amalan. Seusai menyantap di restoran berhampiran dan menyempurnakan solat zohor, saya meminta anak-anak menyelesaikan sendiri urusan pembelian barang-barang. Maklumlah…boleh jadi ‘jem’ kaki kalau mengikut mereka memilih barang-barang. Biasanya saya memperuntukkan sejumlah bajet untuk keperluan mereka manakala pilihan barangan terserah kepada mereka sendiri.

Saya mencari satu sudut yang sesuai sementara menunggu anak-anak. Terlihat kelibat seorang ibu tua yang berjalan keseoarangan dalam keadaan kepayahan. Lantas saya menghampiri beliau dan mempelawa beliau duduk di sebelah. Entah angin baik mana yang melanda, saya menjadi terlalu ramah sangat hari ini. Dari satu topik kepada topik lain saya berbual dengan beliau.

Diringkaskan cerita, ibu ini tinggal sebatang kara setelah kematian suami kira-kira 10 tahun lalu akibat kancer tenggorok. Mempunyai seorang anak perempuan yang telah berkahwin tetapi jarang sekali menjenguk sang ibu. Namun kegigihan semangat membuatkan beliau masih bergerak ke sana sini dengan bertemankan ‘teksi’ yang dipercayai. Sepanjang perbualan beberapa kali ibu tua ini mengesat airmata…mungkin mengenang suratan takdir yang menjenguk di penghujung usia…namun beliau kelihatan begitu pasrah.

Di penghujung pertemuan, pelawaan saya untuk menghantar beliau pulang ke rumah ditolak dengan baik dengan alasan belum selesai urusan. Namun beberapa kali beliau mengucapkan terimakasih kerana sudi berkongsi cerita petang itu. Saya begitu terharu tatkala mahu meninggalkan beliau, kerana tidak sanggup untuk membayangkan kesudahan hidup kita di kemudian hari. Bagi rakan-rakan dan anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa, sedikit ulangan peringatan untuk kita bersama:

"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan HENDAKLAH BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBUBAPA. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (Surah al-Isra': 23-24)


"Redha Allah tergantung kepada keredhaan ibubapa dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan ibubapa" (HR Bukhari di dalam Adabul Mufrad -Sahih)

Muga Allah membalas kebaikan kita kepada orang tua dengan kebaikan di sisiNya.

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaKu" (Surah Al-Fajr: 27-30)

No comments:

Post a Comment