Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Feb 24, 2009

CUKUPKAH SEKADAR MEMANDANG..??



Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak kemunkaran yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai contoh, lihat saja di kompleks membeli belah. Berapa ramai pasangan yang berpeleseran bahkan sebahagiannya melakukan perbuatan yang amat menjolok mata. Yang lebih menyedihkan lagi mereka ini terdiri dari golongan pasangan Melayu yang beragama Islam. Tetapi apa yang lebih menyedihkan ialah sikap KITA yang tidak berbuat apa-apa seolah-olah perbuatan itu tidak menyalahi norma kehidupan .


Mempertahankan dan menegakkan kebenaran ajaran Islam merupakan satu kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan oleh setiap Muslim. Amar makruf nahi mungkar merupakan slogan Islam yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wataala dan Rasul-Nya untuk kita bina dan bangunkan pada diri sendiri dan orang lain.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.''

Kita sepatutnya sedar bahawa musuh-musuh Islam sentiasa berusaha untuk memporak perandakan Islam bukan saja dengan cara kekerasan bahkan kadang kala dengan siasah yang cukup halus dan tanpa disedari. Ini termasuklah menerapkan unsur-unsur negatif seperti pergaulan bebas dalam budaya hidup seharian.


Oleh kerana selalu sangat berhadapan dengan situasi sedemikian, kadangkala kita merasa bahawa ianya bukan satu yang luar biasa atau bukan termasuk dalam kemungkaran yang wajib diperangi. Sekiranya ini yang kita rasakan, saya ingin mengajak untuk kita semua merenung balik hadis Rasulullah SAW.


Sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ia hendaklah mengubah dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu (mengubah dengan tangan - kuasa), maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (teguran dan nasihat), dan sekiranya tidak juga mampu, ia hendaklah mengubah dengan hatinya (yakni tidak rela dan benci dengan kemungkaran tersebut) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi."


Dalam hadis lain Rasulullah selanjutnya bersabda lagi yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman: Suruhlah (manusia) berbuat makruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, Allah tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu Allah tidak menolong kamu lagi."


Kedua-dua hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa bagi memerangi sebarang kemunkaran, berdakwah adalah dituntut kerana ia merupakan satu amalan yang mulia di dalam Islam dan dengannya Islam tersebar ke berbagai penjuru dunia. Para Rasul juga diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk berdakwah demi memerangi kemunkaran dan menegakkan kesejahteraan dalam kehidupan umat manusia.


Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

“Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi.” (Surah Al Ahzab :45-46)


Oleh itu, tanggungjawab beramal dan bekerja untuk memastikan perturan Islam terlaksana adalah merupakan satu tanggungjawab ke atas setiap individu, iaitu sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab terhadap syariat yang lain.


Dengan erti kata lain, bagi membina kehidupan masyarakat dan memakmurkannya atas dasar kebenaran dan kebaikan, Islam meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas setiap individu sama ada lelaki atau perempuan, mengikut batas dan kemampuan masing-masing.


Oleh kerana beramal dan bekerja untuk memerangi kemunkaran merupakan satu kewajipan individu dari sudut syarak, maka ia juga merupakan satu kewajipan secara organisasi atau berpasukan dari sudut tanggungjawab dan perlaksanaannya. Ini kerana tanggungjawab dan kewajipan tersebut terlalu berat untuk dipikul oleh orang perseorangan atau individu.


Tugas berat seperti ini sebenarnya menuntut pengorbanan yang tinggi, kemampuan dan kesungguhan yang tidak terbatas dan ini tidak mungkin mampu dipikul atau dilaksanakan oleh mana-mana individu sekalipun dengan memerah seluruh tenaga, kegigihan dan kesanggupan menghadapi segala dugaan dan rintangan.


Sebaliknya tanggungjawab ini hanya mampu dipikul atau dilaksanakan secara terancang dalam satu pasukan yang tersusun rapi. Bekerja dalam satu pasukan seperti ini akan menggabungkan segala kemampuan dari sudut kesedaran, penyusunan dan kekuatan dalam menghadapi suasana yang semakin mencabar.


Bahkan terdapat dalil yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah yang menuntut supaya amal ini dilakukan dalam satu pasukan yang tersusun kemas.


Firman Allah yang bermaksud:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran" - (Al-Ma'idah: 2).


Sementara Rasulullah pula dalam sabdanya pernah menyebutkan:

"Sesungguhnya serigala itu (musuh-musuh Islam) hanya akan dapat memakan kambing (umat Islam) yang tersisih dari kumpulannya


Berdasarkan kepada nas tersebut, nyatalah bahawa menggabungkan diri dalam mana-mana pasukan yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dan menentang arus kebatilan adalah merupakan suatu perkara yang dituntut oleh setiap individu mukmin.


Firman Allah SWT dalam Surah As-Saff ayat 4 bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh”.



No comments:

Post a Comment