Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Feb 24, 2009

BUKAN SEKADAR ISTERI.......



Persoalan mengenai wanita merupakan salah satu perkara yang semakin hangat diperkatakan dewasa ini. Wanita sering dikaitkan dengan peranan utama mereka dalam berbagai aspek penting demi menjamin keharmonian rumahtangga, masyarakat dan negara. Namun hakikatnya yang berlaku hari ini sama ada secara sedar atau tidak peranan-peranan yang telah dikhususkan kepada kaum wanita telah diselewengkan sehingga telah menimbulkan berbagai-bagai implikasi buruk terhadap diri sendiri, keluarga , masyarakat dan juga negara. Ini terbukti dengan bertambahnya bilangan wanita yang rosak akhlak, kadar kes perceraian yang tinggi serta berleluasanya perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anak-anak muda akibat dari salah asuhan atau pengaruh persekitaran. Fenomena yang berlaku ini sudah sewajarnya dipandang serius kerana keutuhan masyarakat pada masa akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana wanita menangani permasalahan yang berlaku secara bijaksana.



“Gadis yang sedang mekar hari ini akan menjadi ibu hari esok, jika mereka terdidik atas dasar takwa dan ilmu, merekalah wanita sempurna” (Che Zainon Yusof: 1995)



1. Peranan Utama Wanita



Firman Allah dalam Surah az-Zariyat ayat 56 bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”

Dari ayat di atas jelas menunjukkan bahawa peranan atau pun tanggungjawab utama para wanita adalah sama dengan para lelaki iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Adalah menjadi kewajipan semua wanita muslim untuk berusaha sebaik mungkin agar dapat menjadi seorang mukminat yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT semata-mata dengan melaksanakan segala perintah Allah dan RasulNya serta menjauhi segala yang ditegah. Kekuatan iman yang jitu merupakan asset terpenting bagi seorang wanita agar ia menjadi benteng yang kuat bagi mengharungi sebarang bentuk cabaran mendatang.



2. Wanita dan Keluarga/Rumahtangga



Peranan wanita dalam keluarga atau rumahtangga adalah merupakan satu amanah yang telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya menunaikannya sebagaimana FirmanNya di dalam Surah an-Nisa’ ayat 58 bermaksud:



“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat:”



Dalam sesebuah rumahtangga , dua peranan utama yang sewajarnya dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan juga sebagai seorang ibu. Seorang isteri yang sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau pun senang dan seorang ibu yang terlibat secara langsung di dalam memberi pendidikan kepada anak-anak serta menjaga hal-ehwal pengurusan rumahtangga dengan bantuan suami.



3. Wanita dan Kerjaya



Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor , tenaga pengajar kepada kaum wanita serta lain-lain bidang yang bersesuaian. Bagaimana pun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu:



· Kerja-kerja itu mestilah yang bersesuaian dengan sifat kewanitaan

· Kerja-kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu

· Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau untuk

menyampaikan kesedaran Islam kepada para wanita lain

· Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat

· Sentiasa menjaga tatsusila dan terhindar dari berlakunya

pergaulan bebas dengan lelaki

· Mendapat restu dari penjaga, bapa atau suami

· Mengelak dari melakukan perkara-perkara yang boleh membawa fitnah

sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.


Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawabnya yang utama sebagai serikandi dan bidadari di dalam rumahtangga suaminya.



4. Wanita dan Tanggungjawab Sosial


Apabila memperkatakan tentang peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, sejarah telah pun membuktikan bahawa semenjak zaman Rasulullah saw lagi kaum wanita secara aktif telah memainkan peranan mereka mengikut batas-batas yang ditetapkan. Misalnya kaum wanita telah bersama-sama dengan kaum lelaki mempelajari ilmu-ilmu dan petunjuk Islam. Ada di antara mereka telah meriwayatkan hadis-hadis nabi bahkan saidatina Aishah sendiri telah menunjukkan ketokohannya sebagai seorang yang mencapai kedudukan ilmu yang tinggi sehinggakan sahabat-sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Osman bertanya kepadanya mengenai ilmu faraid.

Wanita juga berperanan sama dengan lelaki dalam usaha untuk membendung keburukan yang berlaku dalam masyarakat kerana ini adalah tanggungjawab setiap Muslimin dan Muslimat.

Sebagaimana Firman Allah dalam Surah ali-Imran ayat 110 bermaksud:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”.

Kepincangan dan kebejatan yang berlaku terutamanya di kalangan muda-mudi hari ini sewajarnya menarik perhatian wanita untuk sama-sama berganding bahu mencari penawar yang paling mujarab.Tugas ini sememangnya berat dan memerlukan kesabaran, ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.




5. Menangani Peranan Wanita secara bijaksana



Situasi semasa secara tidak langsung telah memaksa kaum wanita memainkan peranan yang seimbang di antara alam rumahtangga dan dunia masyarakat luar. Hal ini sebenarnya merupakan cabaran besar kepada wanita dan sekaligus telah meletakkan kaum wanita di persimpangan .

Persoalannya ialah sejauh manakah seseorang wanita itu mampu melaksanakan semua tanggungjawab di atas secara serentak atau wajarkah wanita mengabaikan salah satu unsur daripadanya?? Jawapannya sudah pasti terletak di tangan wanita sendiri. Sesungguhnya golongan wanita sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan dari semua pihak agar dapat menjalankan tugas dan tanggung jawab secara lebih berkesan. Perkara-perkara berikut antara panduan yang boleh digunakan oleh kaum wanita untuk membantu mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut.

a. Sentiasa memantapkan keimanan kepada Allah SWT dan meyakini akan pertolonganNya. Keimanan yang mendalam akan dapat melahirkan wanita yang yakin pada dirinya sendiri dan mampu meneroka segala potensi yang dianugerahkan oleh Allah SWT.


b. Melengkapkan diri dengan tiga ciri utama :

· Ilmiyah iaitu mengetahui sebanyak mungkin ilmu agama dan lain-lain jenis ilmu termasuklah mengetahui hak-hak sebagai seorang wanita menurut perspektif Islam.

· Siasah iaitu cuba memahami perkembangan politik tempatan dan antarabangsa bertujuan untuk meluaskan fikiran dan pandangan sebagai seorang wanita yang peka kepada isu-isu sawarjagat.

· Amaliyyah iaitu mengamalkan apa yang dipelajari dan difahami secara ilmiyah


  1. Mendapatkan sokongan dan pengiktirafan dari orang yang paling hampir
sama ada suami, ibu bapa atau keluarga. Sokongan dan kebersamaan

mereka ini menjadi penggerak utama kepada tugas-tugas seorang wanita.

  1. Mempelajari secara bersungguh-sungguh bagaimana untuk menguruskan
masa dengan lebih sistematik.

  1. Perlu ada perancangan kerja dan laksanakan kerja-kerja mengikut
susunan keutamaan.

  1. Sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan keluarga mertua
sepertimana ia menjaga hubungan baik dengan keluarganya sendiri.

  1. Sentiasa menilai perlakuan diri sendiri atau memuhasabah untuk
mengukur sejauh mana baik buruknya sesuatu tindakan atau

perkara yang telah dilakukan.

  1. Sentiasa beristighfar dan memohon kemapunan kepada Allah SWT
di atas kesilapan yang telah dilakukan sama ada disedari atau pun tidak.

  1. Berlapang dada di atas teguran-teguran membina yang telah diberi
oleh sesiapa sahaja bertujuan untuk memperbaiki diri.

  1. Melakukan kerja-kerja kebajikan umum secara amal jamai supaya
pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan tersusun.


Berbahagialah wanita yang dapat menjalankan tugas di atas dan memainkan peranannya sebagai seorang wanita cemerlang mengikut kacamata Islam. Yakinlah dengan janji Allah sebagaimana FirmanNya dalam surah an_Nahl ayat 97 yang bermaksud:


“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, sama ada lelaki atau wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan”.



1 comment: