Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Nov 30, 2009

Bicara Tentang Kehidupan



“Salam. Bila akak free?. Jumpa kejap boleh?”…..
Paparan mesej di skrin hp tua saya memecahkan keheningan dini hari. Sudah menjadi lumrah bagi rakan-rakan atau kenalan rapat akan menghantar sms tanpa mengira waktu untuk membuat temu janji, menyedari kesibukan empunya badan yang entah bila akan bernokhtah…


Saya segera menekan menu organizer, membelek-belek tarikh yang sesuai. Pengirim sms bernama Anne merupakan kenalan rapat yang telah beberapa kali membuat temujanji….


“OK. Esok petang akak free. Jumpa di Restoran XYZ 5.30 ptg”, lincah jari jemari saya membalas teks berkenaan, bimbang terlupa dek asakan sms lain yang bakal menyusul.


Memulai langkah menuju ke Restoran XYZ petang itu diiringi dengan doa dan seribu harapan muga pertemuan ini dinaungi rahmat Allah SWT. Sebuah pertemuan yang sudah pasti didasari mencari redha Allah jua…


“Kak, semalam kita orang gaduh lagi…”, Anne memulakan cerita setelah kami saling bertanya khabar.


“Mana tak nya kak. Dahlah saya yang bayar duit ansuran rumah,kereta, duit belanja dapur pun kadang-kadang saya yang keluarkan. Dia asyik kata takde duit je…hairan saya kak. Lepas tu, semua kerja-kerja rumah saya juga yang kena buat. Penat kak…..”, gerutu Anne dengan memek muka tidak puas hati. Usia perkahwinan mereka yang diasaskan cinta baru menjejaki usia tiga tahun.


Saya menjadi pendengar yang setia…….membiarkan Anne meluahkan segala rasa hati yang terbuku…lagak persis seorang kaunselor tetapi tidakbertauliah. Hanyalah secebis pengalaman hidup sebagai bekalan. Telah acapkali mendengar cerita yang lebih kurang serupa dari rakan-rakan seangkatan Anne. Mungkinkah ini fenomena biasa di era dunia tanpa sempadan? Pertelingkahan yang akhirnya membawa kepada perceraian.





*************************************************************************************

Mengikut statistic terbaru yang dikeluarkan oleh BH bertarikh 30 Nov 2009 di bawah artikel bertajuk JODOH SINGKAT mendapati:



Pasangan berumur 31 hingga 35 tahun mencatat kes perceraian tertinggi: Perceraian pasangan muda banyak berlaku di Lembah Klang disebabkan kos sara hidup yang tinggi.



Mengulas mengenai statistik berkenaan, Pengarah Kesuma (Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid , Jakim) , Ghafani Awang Theh, berkata, daripada pengamatan jabatan itu berdasarkan kes yang dirujuk pegawai runding cara di Jabatan Agama Islam, pasangan baru berkahwin mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri.


"Mungkin disebabkan usia belum matang menyebabkan mereka gagal memenuhi kehendak pasangan sehinggakan perkahwinan yang diinginkan penuh keindahan, sebaliknya menjadi kejutan tidak dijangka berpunca daripada sikap belum bersedia mereka melayari alam rumah tangga," katanya.


Beliau mengakui trend perkahwinan singkat di antara pasangan muda berpunca daripada masalah komunikasi, selain hidup berkeluarga jauh daripada pemantauan ibu bapa dan keluarga menyumbang kepada keruntuhan ikatan rumah tangga.


"Sekarang ini ramai pasangan muda yang berkahwin tidak mendapat perhatian daripada orang tua masing-masing sehingga menyebabkan pasangan gagal mematuhi rukun hidup berumah tangga, misalnya mengeluarkan bahasa kasar apabila berbual bersama pasangan.


"Jika dulu, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga sentiasa terjalin erat menyebabkan mereka saling tegur menegur jika ada sesuatu yang kurang disenangi berlaku di sekeliling mereka, kini, sikap itu semakin terhakis," katanya.


"Tekanan dihadapi berpunca daripada masalah kewangan menjadi penyebab utama perceraian. Justeru selepas menilai hasil kajian, modul praperkahwinan sudah diubah semula pada 2007 dengan memasukkan dua subjek penting iaitu pengurusan kewangan dan pengurusan stress”,tambahnya lagi.

************************************************************************************

Banyak perkara yang kami bincangkan …. Walaupun bukan penyelesaian seratus peratus yang dicapai dalam pertemuan petang itu, kerana tiada jalan pintas dalam kehidupan, namun sekurang-kurangnya Anne pulang ke rumah bertemu suami dalam keadaan lebih ceria dan tenang untuk berdepan dengan cabaran demi cabaran mendatang. Itulah lumrah kehidupan….


Sempat saya titipkan bekalan berikut buat Anne:
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya (selagi tidak melanggar syarak), maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya.”


Nov 29, 2009

Menghargai Ruang Yang Terluang




Destinasi JB-Ipoh adalah suatu permusafiran yang meletihkan, apalagi jika ianya berkaitan dengan urusan tugas rasmi yang memerlukan minda bekerja secara optimum. Manakan tidak…untuk memandu kereta terasa tidak berupaya…menaiki bas direct dalam jarak ratusan kilometer juga tidak termampu dek kerana keampuhan fizikal yang semakin dimamah usia. Akhirnya kami memilih untuk terbang (JB-KL) dan seterusnya menaiki bas (KL-Ipoh).

Sepanjang permusafiran pergi dan kembali banyak perkara yang saya dan teman-teman kongsikan. Dari dunia pekerjaan hinggalah kealam keluarga dan rumahtangga.

“Terasa masa cepat sangat berlalu. Tak perasan umur kita ni dah menghampiri separuh abad”, bicara Ana sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap bas, menikmati kehijauan pemandangan di kiri kanan lebuhraya Ipoh-KL.

“Dalam usia macam ni, saya semakin menghargai nilai sebuah kehidupan. Kalau dulu silap sikit mesti nak bergaduh. Tapi sekarang, walaupun geram macam mana, saya akan cuba bersabar. Cuba menikmati waktu-waktu terluang yang Allah beri untuk kita bersama suami…..entah sampai dimana hujungnya”, petah Ana menyambung kata-katanya tanpa sempat saya mencelah.

Tersentak saya seketika. Merenung dan cuba muhasabah diri. Benar seperti yang Ana katakan, hidup berkeluarga adalah suatu amanah dan suatu nikmat anugerah Allah. Sejauhmana kita telah menghargai dan menjaganya?

Suasana sepi seketika….kami melayan perasan masing-masing. Yang kedengaran hanyalah lagu-lagu yang diputarkan di dalam bas tanpa saya mengamati senikatanya….terasa perjalanan terlalu lama dan jauh…terasa seolah-olah ingin terbang dan segera kembali ke rumah mendampingi mereka yang tersayang!!

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.( al-Kahfi (18) : 46)












Oct 5, 2009

Tautan Kasih di Kampung Parit Lapis Bangas

Bahang hari raya masih terasa di mana-mana. Rasanya kalau di Johor ni, sambutannya genap sebulan. Apa pun dalam kesibukan memenuhi undangan jamuan rumah terbuka, kami memilih untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama masyarakat kampong Parit Lapis Bangas, Seri Medan, Batu Pahat.

Ini bukanlah kunjungan pertama kami ke sana. Kampung ini telah mula kami jejaki semasa peristiwa banjir besar melanda pada tahun 2005/2006. Ia seperti sudah serasi dan mengunjungi penduduk kampong seperti mengunjungi sanak saudara yang lain.

Kehadiran kami sekeluarga ke sana kali ini adalah untuk bersama-sama team Sekretariat Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) JIM Johor yang diketuai oleh P.Long Amin. Untuk kali ini saya ditugaskan sebagai Pengendali Utama Program bersama ibubapa manakala P.Long mengendalikan program bersama remaja dan belia.

Bilangan peserta Remaja/Belia ialah 50 orang dan bilangan peserta ibubapa seramai 150 orang.

Alhamdulillah dalam sesi perkongsian, respon yang sungguh positif di berikan oleh ibubapa .

Antaranya:
• Mohon JK Kg & JIM mengadakan lagi sekali program ni semasa cuti sek @ cuti semesta agar anak-anak yang belajar di luar kampung tidak ketinggalan untuk mengikuti program yang sangat baik ini.
• Saya ni dah berusia 50 thn, nak buat lebih-lebih dah tak kuat. Saya dapati perkara ni dah parah, memang parah, parah, parah (dlm nada sedikit sebak). Saya minta JIM bawa isu zina untuk di sebat macam kes Kartika. Bila Islam nak kembalikan Syariat Islam, JIM dengan Jbtn Agama desak Kerajaan Johor untuk laksanakan Undang-undang Islam di Johor.
• Beberapa JK Kampung mengambil kesempatan menyeru untuk sama-sama memainkan peranan selaku anggota masyarakat, sama-sama mencegah perkara ini, saling bantu membantu bukan sahaja di dalam kampung malah dengan kampung-kampung yang berhampiran. Berfikiran positif membantu keluarga-keluarga yang terlibat bukan mencemuh dan diketepikan dan istilah menyimpan ‘bangkai yang busuk’ tidak lagi berlaku.


Program ini turut dihadiri Tok Penghulu Mukim Sri Medan, Ketua –ketua Kampung, Pengerusi Masjid & JK Kampung . Alhamdulillah, beberapa program susulan akan dijalankan. Muga usaha ini merupakan sebahagian dari usaha amar makruf nahi munkar dan diterima di sisi Allah SWT.

”Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah....”
Ali Imran:110

Disisipkan beberapa rakaman peristiwa.


Masjid Kg Parit Lapis Bangas...tempat program diadakan.


....Sesi Bersama Ibubapa....ambil peluang ngomong jowo....


Sebahagian kaum ibu yang hadir.


Sebahagian kaum bapa yang hadir.


Seorang ibu memberikan cadangan supaya program diadakan sekali lagi.


Apa agaknya yang menarik perhatian orang-orang besar ini: Tok Penghulu, Pengerusi Masjid, YDP JIMJ dan Ketua Kampung.


Anak bongsu kami...Aisyah turut mengaminkan doa di akhir program.


Menjamu selera dengan masakan jawa...hmmm..sedapnya..


Sempat berbincang sambil menjamu selera.


Penggerak-penggerak program terdiri dari rombongan JIM dan JK Kampung.


Hai...dah dapat kawan baru...hubby dan Wak Sahlan.


Sayonara....jumpa lagi...hmm...bawa bontrot...


I.Allah akan menjejaki lagi Kampung Parit Lapis Bangas demi Tautan kasih...

Sep 30, 2009

Diari Syawal 2009

Daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Setelah sebulan kita memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Mewujudkan suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak.

Syeikh Sayyid Sabiq r.a berkata:

"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." (Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290)

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai.

Alhamdulillah, syawal kali ini merupakan satu percutian yang panjang bagi kami sekeluarga. Walaupun dengan ketiadaan salah seorang ahli keluarga yang kini jauh diperantauan, menziarahi keluarga dan handai taulan tetap dilaksanakan. Kali ini jangkauan ziarah lebih luas meliputi utara dan timur semenanjung…..



...Setelah bermaafan di pagi lebaran....di rumah ibu mertuaku, Pontian Johor.



Anas dan Auntie...Yeh...yeh...boleh makan...


Farah dan Asah....gaya baju raya....



Sarah....hari ini hari raya...


Syawal kedua...telah berada di Taman Meru, Ipoh..di rumah Saudara Ainol...


Sawah yang menghijau...melatari banglo mewah kakak di Teluk Intan...


Sempat menghadiri majlis pertunangan anak saudara di Tanjung Tualang, Perak...Tahniah Yong!!..


Di perkampungan MATRI, Tunjong Perlis....mencari sahabat lama...


Menziarahi Al Fadhil Ustaz Dahlan di rumah beliau di Mata Ayer Perlis.



.....Pantang jumpa kucing....


Tumpang semangkuk...bersama hubby dan Ustaz Dahlan...



Opah Su...nak duit raya!!...Bersama cucu saudara di Temerloh Pahang..


Si bongsu Aishah...minum ubat dalam perjalanan...demam kepenatan...



Sebagaimana kita mengharapkan Ramadhan yang berlalu merupakan Ramadhan terbaik dalam kehidupan kita, begitu juga semuga Syawal ini merupakan Syawal bermakna bagi kita semua...Ameen!!...

Aug 19, 2009

Berubah dan Perubahan

Memulai kehidupan hari ini dengan suatu kalimah yang cukup menyentak hati....
“Jika ingin melihat orang lain berubah kita sendiri perlu berubah terlebih dahulu”.

Bukan kali pertama mendengarnya malah berkali-kali. Tetapi masa dan keadaan yang menyebabkan demikian..

Benar...adakah kita telah berubah dan bersedia untuk berubah?
Sejauhmana kita telah mengadaptasi dengan perubahan dan bersedia menerima pasang surut kehidupan...

Menyelia latihan mengajar adalah sesuatu yang menarik, menyeronokkan malahan kadangkala boleh jadi membosankan...


Salah satu pengalaman menarik...Seorang guru pelatih menyanyi lagu The Beatles berjudul Yesterday sebagai set induksi untuk menarik minat dan tumpuan murid-murid kepada pengajarannya bagi tajuk past tense atau kala lampau dalam pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Seni kata lagu tersebut berbunyi "Yesterday, all my troubles seemed so far away ..." atau "Semalam, semua kesusahanku tampak jauh sekali ..." Murid-murid kelihatan terpegun dengan mulut ternganga.





Boleh ditafsirkan sebagai semalam senang, hari ini susah. Hari ini susah, esok senang. Senang dan susah silih berganti. Itulah lumrah alam. Namun, ia berlaku dengan bersebab. Bagaimana reaksi kita??...


"Dan jika Kami merasakan kepada seseorang manusia dengan pengasihan daripada Kami, dan kemudian Kami merampasnya daripada dia, dia berputus asa, tidak berterima kasih (kafir). Tetapi jika Kami merasakannya kemakmuran setelah kesusahan menyentuhnya, dia akan berkata, 'Keburukan telah pergi daripadaku'; tiba-tiba dia sangat gembira dan membanggakan diri." (11:9-10)


Bahan eksperimen...mangsa perubahan??



Murid-murid...bersediakah berubah??


Izham...agen perubahan??



Syafid...berubah-ubah??



Guru dan Pensyarah Pembimbing....pastikan perubahan berlaku??

Aug 10, 2009

Dengarlah Suara Hatiku

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”. ( Ali Imran 104).

Setelah sembilan bulan Raudhatus Sakinah Johor ditubuhkan, inilah kali pertama kami berpeluang mengadakan pertemuan dengan ibubapa pelatih-pelatih dalam program Ramah Mesra Keluarga RS. Selain ceramah "Sayang Annakku Sayang" oleh Ustaz Rifki, slot perkongsian RS juga turut disisipkan. Beberapa orang ibu bapa telah diberi peluang untuk melahirkan suara hati mereka atau mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan pengurusan RS.


“Dia bukan anak kandung saya tetapi anak tiri. Walau bagaimana pun saya tetap menyayanginya seperti anak saya sendiri. Sepuluh tahun saya berusaha memenangi hatinya tapi gagal. Ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Setelah dimasukkan ke RS, dia telah banyak berubah. Setiap kali datang melawat saya dapat memeluknya…..saya sangat terharu atas perubahan sikapnya…” ,luahan hati Puan S sambil tersedu-sedu. Agak sukar bagi Puan S mengungkapkan kata-kata, beberapa kali terhenti kerana menahan sebak.



”Telah lapan bulan anak saya berada di RS. Selama tempoh itu saya tidak pernah melepaskan peluang menziarahinya setiap kali waktu melawat. Alhamdulillah, saya telah dapat melihat perbezaan sikap anak saya. Berbeza ibarat langit dan bumi jika dibandingkan dulu dan sekarang. Terimakasih kepada RS yang memberi peluang kepada anak saya untuk berubah....”, Encik K bersuara dengan agak perlahan kerana cuba mengawal emosi yang sebak.



”Saya telah berpisah dengan isteri saya hampir 11 tahun. Saya telah mendapat hak penjagaan ke atas anak saya. Selama tempoh itu anak saya tidak pernah meluahkan apa-apa masalah kepada saya malah tidak pernah bercerita atau bercakap panjang dengan saya sebagai ayah. Hari ini saya sangat terharu apabila membaca surat yang ditulis oleh anak saya. Dia melahirkan rasa kasih sayangnya kepada saya sebagai ayah....yang sebelum ini tidak pernah saya mendengarnya....Terimakasih kepada pihak RS kerana meminta anak-anak ini menulis surat. Walaupun baru dua bulan di sini (RS), saya melihat perubahan yang sangat baik pada dirinya...Syukur Alhamdulillah...”, luahan Encik J, terpancar kegembiran bercampur kesayuan di wajahnya.


“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal : 28)


Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.....



Terimakasih kepada semua barisan ajk pengurusan dan sukarelawan RS Johor yang telah menjayakan Majlis Ramah Mesra Keluarga RS pada 9 Ogos 2009. Terimakasih juga kepada YDP PM Ainollotfi dan KW Dr Sozana (tak ada gambar sebab jadi camerawoman), yang turut hadir memberikan sokongan.




YDP merasmikan majlis...






Sebahagian dari keluarga yang hadir



Sukarelawan Ustaz Rifki dengan suntikan Sayang Anakku Sayang




Asyik mendengar celoteh dan pesanan Ustaz Rifki




Terpampang poster Anda Bijak jauhi Zina (ABJZ)...sangat relevan dengan RS



Lega....sambutan ahli keluarga RS sangat menggalakkan




Noorlia (Kaunselor RS) dan Solehah (Pengurus RS)...



What next?? Sama-samalah kita fikirkan....
Muga usaha kita diberkati Allah SWT.

Masih Ada Yang Sayang

Menjalani kehidupan seharian di Raudhatus Sakinah (RS) bagi para pelatih adalah sesuatu yang agak membosankan, terutama bagi mereka yang baru melangkahkan kaki ke situ. Masakan tidak, sebelum ini kebebasan menjadi milik mutlak mereka. Tetapi atas nama kebebasanlah mereka terperangkap oleh pukulan badai yang semakin mengganas.

Bagi kami, ajk pengurusan dan sukarelawan RS sentiasa berfikir cara terbaik bagi menggembirakan pelatih ini di RS. Di samping program-program bimbingan yang berterusan, kami juga merancang beberapa aktiviti luaran.

Gembira….bila melihat keceriaan di wajah pelatih…di saat kami mengadakan majlis sambutan hari jadi secara berkelompok….




Sukarelawan turut membantu




Rambutan segar...baru dipetik dari sekeliling rumah...



Seronoknya.....



...Happy birthday to you....



....Kangkung segar...turut menjadi mangsa...



...Pengalaman membakar ayam bagi mereka...




...yummy...yummy....glupp...gluppp...bila nak makan ni?




Syahdu….sewaktu pelatih ini diminta memberikan ucapan sempena hari lahir mereka….

”Kami semua sangat terharu....walaupun kami dah buat banyak dosa dan kesilapan namun makcik-makcik di sini tetap menyayangi kami....masih ada rupanya yang sayangkan kami”, luahan hati seorang pelatih sambil menyeka air mata....

Terimakasih kepada semua ajk dan sukarelawan. Muga Allah meredhai usaha kita bersama....