Nov 29, 2009
Menghargai Ruang Yang Terluang
Destinasi JB-Ipoh adalah suatu permusafiran yang meletihkan, apalagi jika ianya berkaitan dengan urusan tugas rasmi yang memerlukan minda bekerja secara optimum. Manakan tidak…untuk memandu kereta terasa tidak berupaya…menaiki bas direct dalam jarak ratusan kilometer juga tidak termampu dek kerana keampuhan fizikal yang semakin dimamah usia. Akhirnya kami memilih untuk terbang (JB-KL) dan seterusnya menaiki bas (KL-Ipoh).
Sepanjang permusafiran pergi dan kembali banyak perkara yang saya dan teman-teman kongsikan. Dari dunia pekerjaan hinggalah kealam keluarga dan rumahtangga.
“Terasa masa cepat sangat berlalu. Tak perasan umur kita ni dah menghampiri separuh abad”, bicara Ana sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap bas, menikmati kehijauan pemandangan di kiri kanan lebuhraya Ipoh-KL.
“Dalam usia macam ni, saya semakin menghargai nilai sebuah kehidupan. Kalau dulu silap sikit mesti nak bergaduh. Tapi sekarang, walaupun geram macam mana, saya akan cuba bersabar. Cuba menikmati waktu-waktu terluang yang Allah beri untuk kita bersama suami…..entah sampai dimana hujungnya”, petah Ana menyambung kata-katanya tanpa sempat saya mencelah.
Tersentak saya seketika. Merenung dan cuba muhasabah diri. Benar seperti yang Ana katakan, hidup berkeluarga adalah suatu amanah dan suatu nikmat anugerah Allah. Sejauhmana kita telah menghargai dan menjaganya?
Suasana sepi seketika….kami melayan perasan masing-masing. Yang kedengaran hanyalah lagu-lagu yang diputarkan di dalam bas tanpa saya mengamati senikatanya….terasa perjalanan terlalu lama dan jauh…terasa seolah-olah ingin terbang dan segera kembali ke rumah mendampingi mereka yang tersayang!!
“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.( al-Kahfi (18) : 46)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment