Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

May 12, 2011

Terima Kasih Guru




Terima Kasih Guru

Seorang insan ditabir malam
Tersenyum di balik kepayahan
Tidakkan layu mencurah ilmu
Luas lautan baktimu guru

Kau membentuk akhlak diri
Agar menjadi insan berbudi
Menyuluh gelita malam
Terangi kehidupan

Terima kasih cahaya hatiku
Tulus suci kasihmu
Oh Tuhan
Rahmati guru



Anakku,
Itulah sebahagian bait-bait lagu dendangan Saujana yang cukup mengesankan di jiwa ibu. Setiap kali berkumandang, tergambar di mata ibu wajah-wajah tenang guru yang sedang mendidikmu di sekolah ketika ini. Betapa ibu telah memindahkan amanah mendidikmu kepada guru mu itu!

Ketahuilah anakku, betapa besar pengorbanan yang telah mereka lakukan untukmu dan semua anak didiknya. Pernahkah terfikir olehmu saban hari tanpa mengenal hujan dan panas, mereka akan bersamamu ke sekolah seawal pagi hinggalah ke dinihari . Sedangkan mereka juga mempunyai keluarga yang perlu diuruskan sepertimana keluarga kita . Namun semuanya dilakukan dengan ikhlas demi melihat kejayaanmu anakku.

Ibu meyakini bahawa pengaruh guru terhadap perkembangan anakku, malah terhadap bagaimana anakku melihat dunia persekitaran, begitu besar dan bermakna. Namu tidak ramai daripada kita yang mengiktiraf jasa guru, justeru melihat kehadiran guru dalam hidup ini tidak lebih sebagai salah satu daripada pengalaman biasa yang ditempuh oleh seseorang sebelum melangkah ke alam dewasa.

Akibatnya anakku, ibu dapat merasakan bahawa tidak ramai daripada kita yang akan terus mengingati tarikh 16 Mei ini untuk sekurang-kurangnya menghubungi semula guru-guru yang pernah berjasa kepada mereka untuk mengucapkan 'Selamat Hari Guru' atau sekurang-kurangnya bertanya khabar. Ramai juga yang beranggapan meninggalkan sekolah bermakna meninggalkan seluruhnya institusi itu termasuk guru-guru yang pernah berjasa.

Ketahuilah anakku, sesungguhnya perkembangan dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada ramainya ahli masyarakat yang berilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan elemen terpenting bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang maju dan berkembang pesat. Tanpa ilmu pengetahuan masyarakat tidak akan dapat berkembang dan maju ke hadapan. Ilmu pengetahun juga merupakan pengaliran harta yang berterusan, ia tidak pernah putus mengalir, hanya penggunanya sahaja yang selalu mengenepikan kepentingan ilmu tersebut.

Rasulullah SAW bersabda,
“Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah telah membentangkan baginya jalan ke surga, sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka (dengan) penuh keridhaan bagi penuntut ilmu, sesungguhnya penghuni langit dan bumi sekalipun ikan dalam air memohon ampunan untuk seorang alim, sesungguhnya keutamaan seorang alim di atas seorang ahli ibadah seperti keutamaan (cahaya) bulan purnama atas (cahaya) bintang-bintang, sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi, sesungguhnya para nabi tidak mewariskan emas dan perak, tetapi mereka mewariskan ilmu, barang siapa yang mengambilnya berarti ia telah mendapat bagian yang cukup banyak”. (Riwayat At Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, dll).

Ketahuilah jua olehmu wahai anakku, guru adalah merupakan pintu ilmu pengetahuan. Pada mereka ada cahaya ilmu yang jika digali akan menjadi penerang kepada jalan kehidupan. Guru juga merupakan jentera pengaliran ilmu, di samping bertindak selaku pintu keluar masuknya ilmu. Tanpa bantuan dan didikan guru tidak mungkin kita akan dapat menggerakkan sesuatu itu dengan lebih baik dan sempurna.

Begitulah betapa pentingnya guru dalam institusi bernegara dan kehidupan kita wahai anakku. Peranan dan tanggungjawab seorang guru merupakan suatu yang paling mulia dan indah. Bukan setakat mengajar dan mendidik, malahan amal jariah yang tercurah bagi menjadikan anggota masyarakat sebagai generasi yang berguna merupakan hal penting yang patut dijadikan pemangkin untuk terus berkhidmat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
"Sesiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka ia mendapat pahala orang yang mengamalkan ilmu tersebut, pahalanya tidak kurang sedikitpun dari pahala orang tersebut." (Riwayat Ibn Majah)

Pernahkah terfikir olehmu wahai anakku, saban hari dan ketika ilmu bagaikan makanan minda, isinya penyeri hidup dan bahannya pelengkap suasana. Justeru janganlah kita lalai dan tidak mempedulikannya, agar kita tidak menjadi buih yang melata di atas lautan, banyak dipandang mata tetapi tidak bermanfaat.

Oleh kerana itu anakku, ingatlah pesanan ibu ini:
Kalaulah guru sanggup bersusah payah meredah hujan dan panas untuk mengajarmu di sekolah, usahlah anakku leka dan lalai dari mendengar dan mengikuti pengajarannya. Usahlah anakku membantah setiap arahan gurumu itu kerana ketahuilah olehmu bahawa di sepanjang ketidakbersamaan anakku bersama ibu, guru itulah sebagai ganti ibumu. Maka usahlah sesekali anakku membuat hati guru mu sedih kerana jika itu berlaku bermakna hati ibu juga turut merasa sedih anakku. Sebaliknya manfaatkanlah sebaik mungkin ilmu yang diperolehi dari guru itu. Sematkan segala cita di dada. Berusaha untuk memperolehinya. Ketahuilah olehmu anakku, kejayaan ibumu hari ini juga adalah berkat didikan dan asuhan seorang yang bernama guru.

Akhirnya anakku., kenanglah sentiasa jasa dan bakti guru. Walaupun mungkin ada sedikit perasaan tercalar dihatimu akibat sedikit kesilapan guru, kau maafkanlah wahai anakku. Apalah ada pada sedikit kesilapan jika dibandingkan dengan pengorbanannya yang begitu besar. Kau mula mengenal dunia melalui ruang jendela yang dibuka oleh guru. Sebahagian besar masa membesarmu adalah bersama guru yang mengajarmu proses bermasyarakat dan bersosialisasi.

Hari ini, sempena Hari Guru, kalaupun tidak dengan hadiah, apalah salahnya jika anakku mengenang kembali guru yang banyak berjasa membawa perubahan dalam hidupmu. Pergilah bertemu guru-gurumu dan cium tangan mereka serta ucapkanlah terimakasih dengan seikhlasnya. Pasti Allah akan meredhaimu dan merestui kehidupanmu wahai anakku.

Marilah kita doakan dengan seikhlasnya untuk guru-guru kita semoga kehidupan mereka sentiasa dirahmati Allah dan ditempatkan di tempat yang tinggi bersama orang-orang yang mendapat ganjaran yang baik di sisi Allah SWT. Jasa yang ditabur merupakan sumbangan yang tidak akan pernah kita lupakan.

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan seluruh malaikat-Nya serta penghuni langit dan bumi, sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu, semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Riwayat at-Tarmizi).
Ya Allah, perkenankanlah!!


No comments:

Post a Comment