Dec 30, 2009
Tahun baru dan Kehidupan
Tahun Baru Hijrah 1431 telah 13 hari berlalu. Berlalu bersamanya segala azam dan tekad baru yang telah dipahat kukuh di dalam sanubari setiap insan yang dahagakan perubahan.
Kini tinggal beberapa detik sahaja lagi tahun baru masihi 2010 bakal menyusul. Kegusaran dan kebimbangan disuarakan oleh banyak pihak, seolah-olah tergambar perlakuan menyayat hati tentang acara sambutan yang langsung tidak menggambarkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Kedatangan tahun baru samada Hijrah atau Masihi membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti tentang nilai sebuah kehidupan . Sambutan tahun baru digalakkan diisi dengan memohon ampun kepada kepada Allah atas dosa lampau supaya Allah membukakan pintu taubatNya kepada hambaNya yang ikhlas. Bukan dibudayakan dengan acara sambutan melalui program-program hiburan yang boleh melalaikan umat dan menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara maksiat.
Kedatangan tahun baru ini juga diharap melakarkan detik sejarah yang menggembirakan. Dalam mengimpikan lakaran manis ini, tekad dan usaha semestinya dipertingkatkan. Kejayaan sekali-kali tidak akan datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni ianya tidak mungkin dapat dicapai.
Cabaran dan dugaan menunggu di depan, sama ada berupa keseronokan atau kesedihan; kesenangan atau kealpaan. Tiada yang mengetahui, selain Allah. Bagi menghadapi tahun baru yang bakal membuka lembaran episod baru dalam kehidupan kita, marilah bersama menghadapinya dengan muhasabah diri dan melakukan yang terbaik setiap hari kerana setiap detik yang berlalu tidak akan datang kembali.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-Asr)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Cabaran dan dugaan menunggu di depan, sama ada berupa keseronokan atau kesedihan; kesenangan atau kealpaan. Tiada yang mengetahui, selain Allah....
ReplyDeletesangat tersentuh. Terima kasih atas perkongsiannya.