Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Apr 24, 2009

Tiada Kata Secantik Bahasa





Tiada kata secantik bahasa
Tiada gambar seindah lukisan
Nak ku tunjukkan perasaan....


Itulah antara bait puisi sebuah lagu yang masih kuingat…


Benar, tidak mudah untuk seseorang meluahkan perasaan yang terbuku di kalbu.
Itulah apa yang berlaku kepada anak-anak bimbingan di Raudhatus Sakinah.


Menyedari hakikat ini, saya mengambil kesempatan menggunakan sedikit masa yang terluang membimbing anak-anak ini untuk menzahirkan isi hati melalui penulisan jurnal peristiwa.

Nah…cubalah hayati beberapa petikan yang saya ambil dari catatan anak-anak ini dalam masa yang singkat…


Catatan1:

Aku telah melalui satu pengalaman yang amat sukar ku lupakan sepanjang hayatku. Pada tanggal 30 Mac 2009, tepat jam 7.45 malam, aku telah selamat melahirkan seorang puteri yang comel. Tidak pernah ku impikan untuk menjadi ibu di usia semuda ini. Anak ini kuberi nama DAMIA. Entah mengapa, menatap wajahnya hatiku tiba-tiba berubah. Jika sebelum ini, kehadirannya seoalah-olah tidak ku kehendaki. Pernah aku berhajat untuk menggugurkannya kerana memikirkan wujudnya ia tanpa berbapa. Tetapi sebaik menyentuh kulitnya yang lembut, aku begitu mengasihinya...

Namun sayang sekali, aku terpaksa menyerahkan anakku kepada keluarga angkat. Walaupun hatiku begitu berat untuk melepaskannya, aku pasrah demi untuk masa depan anakku yang lebih baik bersama keluarga angkat.

Pengalaman berjuang antara hidup dan mati sewaktu melahirkan Damia membuat ku tersedar betapa besarnya pengorbanan ibu yang melahirkanku. Ibu menjagaku bagai menatang minyak yang penuh. Tetapi aku membalasnya dengan memberi tuba. Agaknya inilah balasan segala dosa-dosaku membuatkan aku tidak berpeluang menjaga Damia. Oh.....aku amat merindui anakku. Namun aku bersyukur, keinsafan ini berlaku setelah aku menghuni Raudhatus Sakinah. Kalaulah tidak, entah apa yang akan berlaku kepada anakku. Mungkin dia tidak berpeluang menjenguk muka di dunia ini.

Aku cuma berpeluang menjaga Damia selama seminggu. Cukuplah untuk aku menyusukannya dan merasai kehangatan tubuhnya yang mongel. Aku cuma mampu berdoa semuga keluarga angkat memelihara Damia sebagaimana anak mereka sendiri. Hatiku terlalu pedih mengingatinya saban malam. Aku berharap suatu hari nanti aku dapat bertemu Damia walaupun nun jauh di Terengganu. Aku sentiasa berdoa semuga Damia membesar menjadi anak yang soleh dan tidak melupakan aku, ibu yang melahirkannya.


Catatan 2:

Aku tidak dapat melupai saat ini. Tiga bulan lalu aku dimasukkan ke sini, tempat yang bernama Raudhatus Sakinah. Sewaktu dihantar oleh kedua ibu bapaku, mereka tidak memberitahuku yang aku akan dihantar ke pusat pemulihan ini. Sebaik mendapat tahu, aku rasa bagaikan dunia ini gelap gelita jadinya kerana mengetahui tempat ini adalah tempat pemulihan akhlak. Aku dapat merasakan bahawa aku akan terkurung di sini.

Tetapi apabila aku renungkan kembali apa yang telah aku lakukan, ia berpunca dari dalam diriku sendiri. Aku tidak pernah memikirkan kesan buruk dari apa yang akan ku lakukan.

Alhamdulillah, setelah berada di sini aku telah mendapatkan kembali kepercayaan dari ibuku. Banyak cubaan dan dugaan yang harus kutempuhi di sini. Namun aku redho. Makcik-makcik sukarelawan di sini mengatakan Allah masih sayangkan aku, sebab itu aku dimasukkan ke sini.

Di sini aku berjumpa dengan kawan-kawan baru yang senasib denganku. Di sini juga aku diajar macam-macam ilmu agama yang sebelum ini tidak pernah ku tahu. Solatku penuh lima waktu. Tahajud setiap hari dan puasa setiap isnin dan khamis. Sebelum ini langsung tidak pernah ku lakukan. Aku juga diajar memasak, menjahit dan macam-macam lagi. Alhamdulillah aku sudah berada di sini selama tiga bulan. Syukur kepada Allah kerana menyelamatkan aku dari terus terumbang ambing di luar sana. Jika aku terus berada di luar, mungkin aku akan menjadi orang yang lebih teruk. Syukur padaMu ya Allah....


Catatan 3:

Detik 2.30 pagi tanggal 16 April 2009, aku dan rakan-rakanku berjaya memboloskan diri keluar dari Raudhatus Sakinah. Alangkahnya gembiranya perasaanku ketika itu kerana dapat menikmati suasana di luar yang selama ini aku impikan. Tapi sayang kegembiraan ini hanya sekejap. Kami terperangkap dengan kebodohan kami sendiri.

Aku merenung kembali tindakanku itu. Aku bertambah yakin dengan takdir Allah, kegembiraan sekejap itu hanyalah bersifat sementara kerana apa yang dikejar di luar adalah juga bersifat sementara.

Mak, ayah...aku tak pernah menginginkan semua ini terjadi. Aku sedar selama ini aku telah banyak menyakitkan hati mak dan ayah. Aku telah banyak menyebabkan mak menitiskan air mata. Kalaulah boleh aku ulang kembali zaman lalu, sudah tentu aku akan buat mak dan ayah tersenyum. Percayalah...aku menyayangi mak dan ayah. Aku terlalu merindui saat-saat indah bersama keluarga...

Aku menyesal dengan apa yang telah aku lakukan. Banyak masaku berlalu dengan sia-sia. Aku telah menghancurkan masa depanku dalam sekelip mata. Hanya Allah saja yang tahu apa yang telah aku lakukan. Hampir setiap malam aku panjatkan doa ke hadrat Ilahi semuga aku diberi rahmat dan kekuatan untuk terus hidup.

Alangkah lemahnya diri ini memikirkan apa yang telah terjadi...bantulah aku ya Allah...terasa penat dan letih untuk aku terus menitiskan airmata yang terasa telah kering ini...Apakah masih ada insan yang akan menyayangi diriku setelah apa yang berlaku?

Maafkanlah aku Ya Allah di atas segala dosa dan kesilapanku. Bagilah aku peluang untuk berubah dan mengecapi kebahagiaan seperti insan lain. Walaupun kadangkala jiwaku memberontak di sini, tetapi berpeluang mengenali makcik-makcik yang perihatin di Raudhatus Sakinah merupakan sesuatu yang amat berharga. Oh Tuhan...telah lima bulan aku di sini...Aku tidak kuat melalui semua ini... Bantulah hambamu ya Allah...Jika ini adalah balasan atas dosaku selama ini, aku redho dan pasrah ya Allah...

Oh...Tuhan...kirimkanlah seseorang yang boleh membimbingku ke jalanMu. Kerana sesungguhnya JalanMu adalah Jalan yang terbaik untuk menuju ke tempat yang kekal abadi..Aminn....


1 comment:

  1. sangat terharu..kita sangat berharap satu hari dapat bersama menyelami perasaan mereka..alhamdulillah~ Allah Maha Penyayang menyelamatkan mereka.. umi sampaikan salam kita utk mereka..

    ReplyDelete