Feb 22, 2011
Saling Memberi dan Menerima
“Saya mahu berumah tangga bukan untuk menerima. Saya berumah tangga kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu adalah peranan saya di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya saya menerima apa-apa kebaikan dari isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekali pun kebaikan itu”.
Bicara seorang teman senior hampir tiga dekad yang lalu kembali menerjah kotak ingatanku. Bicara puitis yang diucap tatkala aku menunggu saat melangkah ke alam indah dengan perasaan gundah dan pasrah. Bait bicara itu barangkali juga antara wadah yang mampu mengusir rasa gelisah dan resah terhadap masa depan yang bakal berubah.
Memoir lama itu kembali berputar satu persatu di lawang imaginasi tatkala meneliti layangan kad-kad jemputan perkahwinan kiriman saudara mara dan rakan taulan. Aku tersenyum sendirian. Begitu cepat masa berlalu, kita bukan lagi di zaman itu, sekarang adalah zaman anak, menantu dan juga cucu....
Muga anak-anak muda yang bakal menempuh gerbang perkahwinan meningkatkan satu lagi kedudukan dalam kehidupan. Melayari bahtera sebuah perkahwinan tidaklah semudah mengemudi sebuah pelayaran di lautan. Sama memberi dan sama menerima. Alangkah indahnya panorama pelayaran andai kedua-dua pengemudi saling berusaha untuk memberi bukan sekadar meminta-minta. Di sana pasti menanti sebuah pelabuhan yang menjanjikan sejuta kebahagiaan yang berkekalan.
“Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. “
(ar-Ruum:21)
Selamat melayari bahtera perkahwinan bagi mereka yang bakal meraikannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)