Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Nov 30, 2009

Bicara Tentang Kehidupan



“Salam. Bila akak free?. Jumpa kejap boleh?”…..
Paparan mesej di skrin hp tua saya memecahkan keheningan dini hari. Sudah menjadi lumrah bagi rakan-rakan atau kenalan rapat akan menghantar sms tanpa mengira waktu untuk membuat temu janji, menyedari kesibukan empunya badan yang entah bila akan bernokhtah…


Saya segera menekan menu organizer, membelek-belek tarikh yang sesuai. Pengirim sms bernama Anne merupakan kenalan rapat yang telah beberapa kali membuat temujanji….


“OK. Esok petang akak free. Jumpa di Restoran XYZ 5.30 ptg”, lincah jari jemari saya membalas teks berkenaan, bimbang terlupa dek asakan sms lain yang bakal menyusul.


Memulai langkah menuju ke Restoran XYZ petang itu diiringi dengan doa dan seribu harapan muga pertemuan ini dinaungi rahmat Allah SWT. Sebuah pertemuan yang sudah pasti didasari mencari redha Allah jua…


“Kak, semalam kita orang gaduh lagi…”, Anne memulakan cerita setelah kami saling bertanya khabar.


“Mana tak nya kak. Dahlah saya yang bayar duit ansuran rumah,kereta, duit belanja dapur pun kadang-kadang saya yang keluarkan. Dia asyik kata takde duit je…hairan saya kak. Lepas tu, semua kerja-kerja rumah saya juga yang kena buat. Penat kak…..”, gerutu Anne dengan memek muka tidak puas hati. Usia perkahwinan mereka yang diasaskan cinta baru menjejaki usia tiga tahun.


Saya menjadi pendengar yang setia…….membiarkan Anne meluahkan segala rasa hati yang terbuku…lagak persis seorang kaunselor tetapi tidakbertauliah. Hanyalah secebis pengalaman hidup sebagai bekalan. Telah acapkali mendengar cerita yang lebih kurang serupa dari rakan-rakan seangkatan Anne. Mungkinkah ini fenomena biasa di era dunia tanpa sempadan? Pertelingkahan yang akhirnya membawa kepada perceraian.





*************************************************************************************

Mengikut statistic terbaru yang dikeluarkan oleh BH bertarikh 30 Nov 2009 di bawah artikel bertajuk JODOH SINGKAT mendapati:



Pasangan berumur 31 hingga 35 tahun mencatat kes perceraian tertinggi: Perceraian pasangan muda banyak berlaku di Lembah Klang disebabkan kos sara hidup yang tinggi.



Mengulas mengenai statistik berkenaan, Pengarah Kesuma (Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid , Jakim) , Ghafani Awang Theh, berkata, daripada pengamatan jabatan itu berdasarkan kes yang dirujuk pegawai runding cara di Jabatan Agama Islam, pasangan baru berkahwin mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri.


"Mungkin disebabkan usia belum matang menyebabkan mereka gagal memenuhi kehendak pasangan sehinggakan perkahwinan yang diinginkan penuh keindahan, sebaliknya menjadi kejutan tidak dijangka berpunca daripada sikap belum bersedia mereka melayari alam rumah tangga," katanya.


Beliau mengakui trend perkahwinan singkat di antara pasangan muda berpunca daripada masalah komunikasi, selain hidup berkeluarga jauh daripada pemantauan ibu bapa dan keluarga menyumbang kepada keruntuhan ikatan rumah tangga.


"Sekarang ini ramai pasangan muda yang berkahwin tidak mendapat perhatian daripada orang tua masing-masing sehingga menyebabkan pasangan gagal mematuhi rukun hidup berumah tangga, misalnya mengeluarkan bahasa kasar apabila berbual bersama pasangan.


"Jika dulu, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga sentiasa terjalin erat menyebabkan mereka saling tegur menegur jika ada sesuatu yang kurang disenangi berlaku di sekeliling mereka, kini, sikap itu semakin terhakis," katanya.


"Tekanan dihadapi berpunca daripada masalah kewangan menjadi penyebab utama perceraian. Justeru selepas menilai hasil kajian, modul praperkahwinan sudah diubah semula pada 2007 dengan memasukkan dua subjek penting iaitu pengurusan kewangan dan pengurusan stress”,tambahnya lagi.

************************************************************************************

Banyak perkara yang kami bincangkan …. Walaupun bukan penyelesaian seratus peratus yang dicapai dalam pertemuan petang itu, kerana tiada jalan pintas dalam kehidupan, namun sekurang-kurangnya Anne pulang ke rumah bertemu suami dalam keadaan lebih ceria dan tenang untuk berdepan dengan cabaran demi cabaran mendatang. Itulah lumrah kehidupan….


Sempat saya titipkan bekalan berikut buat Anne:
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya (selagi tidak melanggar syarak), maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya.”


Nov 29, 2009

Menghargai Ruang Yang Terluang




Destinasi JB-Ipoh adalah suatu permusafiran yang meletihkan, apalagi jika ianya berkaitan dengan urusan tugas rasmi yang memerlukan minda bekerja secara optimum. Manakan tidak…untuk memandu kereta terasa tidak berupaya…menaiki bas direct dalam jarak ratusan kilometer juga tidak termampu dek kerana keampuhan fizikal yang semakin dimamah usia. Akhirnya kami memilih untuk terbang (JB-KL) dan seterusnya menaiki bas (KL-Ipoh).

Sepanjang permusafiran pergi dan kembali banyak perkara yang saya dan teman-teman kongsikan. Dari dunia pekerjaan hinggalah kealam keluarga dan rumahtangga.

“Terasa masa cepat sangat berlalu. Tak perasan umur kita ni dah menghampiri separuh abad”, bicara Ana sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap bas, menikmati kehijauan pemandangan di kiri kanan lebuhraya Ipoh-KL.

“Dalam usia macam ni, saya semakin menghargai nilai sebuah kehidupan. Kalau dulu silap sikit mesti nak bergaduh. Tapi sekarang, walaupun geram macam mana, saya akan cuba bersabar. Cuba menikmati waktu-waktu terluang yang Allah beri untuk kita bersama suami…..entah sampai dimana hujungnya”, petah Ana menyambung kata-katanya tanpa sempat saya mencelah.

Tersentak saya seketika. Merenung dan cuba muhasabah diri. Benar seperti yang Ana katakan, hidup berkeluarga adalah suatu amanah dan suatu nikmat anugerah Allah. Sejauhmana kita telah menghargai dan menjaganya?

Suasana sepi seketika….kami melayan perasan masing-masing. Yang kedengaran hanyalah lagu-lagu yang diputarkan di dalam bas tanpa saya mengamati senikatanya….terasa perjalanan terlalu lama dan jauh…terasa seolah-olah ingin terbang dan segera kembali ke rumah mendampingi mereka yang tersayang!!

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”.( al-Kahfi (18) : 46)