Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Apr 28, 2009

Bertenang......akan ada penyelesaian.





Sekadar berkongsi satu lagi pengalaman menarik yang saya lalui hari ini, 28 April 2009.

Pagi ni jadual saya sepatutnya ialah memberi ceramah di SMHDH. Tajuk asal yang diamanahkan ialah abjz.

Malam tadi, sewaktu nak memulakan mesyuarat pengurusan Raudhatus Sakinah Johor, saya terima call dari Yong......

Yong kata dia dah sempat kempen pada guru berkenaan, yang abjz ni perlu masa 4 jam utk dpt keberkesanannya…..Guru berkenaan dah setuju dan akan set tarikh lain...cuma dia minta saya buat intro dulu pagi nih....

Hah! Intro...satu jam setengah...lepas tu nak ulang tayang semula next time...Otak dah tak boleh nak fikir waktu tu sebab dah habis masa sehari sebelumnya membuat editing modul abjz utk nak penuhi masa yang diperuntukkan...tetiba kena buat intro je...prghhh...buntu seketika. Mesyuarat pulak dah nak kena mula … (merasmikan mesyuarat sbg Pengerusi RS yang baru...Takziah utk diriku yang lupa)...

Sempat juga saya beri arahan pada Yong minta cari penceramah lain kalau bukan slot abjz....Kesian Yong...dia kata mana nak cari orang malam-malam nih....
Saya pun kata oklah, lepas mesyuarat nanti saya akan fikirkan apa nak buat...manalah tahu kot-kot ada ilham...

Selepas habis mesyuarat, saya terus balik ke rumah dan termenung depan notebook sambil menyelongkar fail-fail ceramah yang ada. Sambil tu kepala ligat berfikir….Tup-tup dapat idea tajuk ceramah...lantas terus sms Yong, nak call takut dah lewat mlm...Rupanya Yong belum tidur...terus dia reply...Setuju, tajuk pun cantik, kata Yong.....Prgghhh...harapkan tajuk je le...

Oklah...at least dah boleh tidur dgn nyenyak, dah settle satu masalah...

Pagi sampai je di kawasan parking sekolah, Yong call nak jumpa...Alamak, apa pulak cerita versi pagi nih...suspen pula tengok muka Yong yang macam ada masalah jek....

Saya ajak Yong masuk dlm kereta...duduk dalam aircond yang belum sempat dimatikan, bagi Yong sejuk sikit dan bertenang...

Ha..ha...Yong kata Cikgu dah kempen pada pelajar ceramah pagi ni pasal abjz....kwang...kwang...pelajar pun dah excited....
Yong kata macam mana ni??

Otak saya ligat berfikir...hah! datang idea...

Lantas saya tanya Yong, ceramah pagi ni sempena apa ye?
Yong kata sempena bulan Sahsiah Islam...

Ok. Takpe. Beres jawab saya spontan....dalam kepala ligat macam gasing...berlagak je macam confident......

Berlakulah apa yang berlaku.......

Ceramah diteruskan , bukan abjz….tetapi Perjalalan Insan...ubahsuai bahan dari Masiri...sambil tu disesuaikan dgn tema sahsiah Islam dan sedikit intro pasal abjz....kira tertunailah hajat pihak sekolah….


Lega....masa minum pagi dgn beberapa orang guru kanan sekolah...sembang-sembang, akhirnya mereka bersetuju utk menggunakan hari sabtu utk abjz, tetapi penggal depan sebab sabtu penggal ni dah fully booked...


Akhirnya…dalam kekalutan….terlerailah satu tanggungjawab…Alhamdulillah…..
Pengajarannya untuk saya, bertenang dan jangan panik….I.Allah akan ada penyelesaian….


Apr 25, 2009

Sentuhan Kesedaran.....

“Ummi…saya menyukai seseorang dan dia juga menyukai saya. Kami saling berhubung dan berjumpa. Tetapi setelah mendengar apa yang ummi ceritakan saya mula tersedar dan saya menjadi sangat takut dengan azab Allah. Apa yang perlu saya buat ye ummi?...Kalau boleh saya tak nak dah teruskan semua tu.....”


“Ummi....kalau seseorang tu dah pernah buat silap, lepas tu dia sedar dari kesilapan, ada tak peluang untuk dia mendapat suami yang baik di masa depan? Macam mana caranya ye Ummi?....”


“Saya nak menjadi orang yang baik. Saya menjadi semakin sedar sekarang. Tapi kadang-kadang saya terpengaruh dengan kawan-kawan. Macam mana kita nak elakkan perkara macam ni ye ummi?....”


Begitulah antara beberapa pertanyaan yang sempat diajukan oleh anak-anak remaja di akhir sesi ABJZ di SDAHA pagi tadi. Walaupun tiada sesi soaljawab tetapi sambil bersalaman seusai slot ceramah, anak-anak ini datang mengerumuni saya sambil berebut-rebut menanyakan beberapa soalan...Ternyata anak-anak remaja seperti ini perlukan suntikan kesedaran dan bimbingan yang berterusan. Dari siapa?? Masing-masing dari kita ada jawapannya yang tersendiri....

“Puan, kami bercadang nak buat untuk pelajar lelaki pula lepas ni. Tapi kami rasa kami tak mampu nak laksanakannya sendiri….”, ujar Ustaz Ketua Bidang di SDAHA.

“Puan, kalau ada pakej program lain yang best2 macam ni, bagitau je pada Ustaz Suhaimi. I.Allah kita boleh aturkannya di sekolah…”, sambungnya lagi.

Hmm…nampak dah mula dapat kepercayaan nih…Pass baton pada KRJ untuk promote program mereka….

Ruang dakwah, ruang amar makruf nahi munkar terbentang luas di hadapan…..



Berikut dipaparkan sedikit sedutan gambar program ABJZ di SDAHA.



Syahdu....mohon petunjuk dan perlindungan dari Mu Ya Allah...



Demi Matahari....Allah mengilhamkan kefasikan dan ketaqwaan...



Carilah kawan yang baik...Jom sertai KRJ...Kak Wani (isteri Abang Zack)...melayani adik-adik yang menyerbu booth KRJ...



Demi Cinta...dan Harga Diri...



Ceria...ceria...bersama Abang Zack...



Penat juga nak susun korang ni yek....

Apr 24, 2009

Tiada Kata Secantik Bahasa





Tiada kata secantik bahasa
Tiada gambar seindah lukisan
Nak ku tunjukkan perasaan....


Itulah antara bait puisi sebuah lagu yang masih kuingat…


Benar, tidak mudah untuk seseorang meluahkan perasaan yang terbuku di kalbu.
Itulah apa yang berlaku kepada anak-anak bimbingan di Raudhatus Sakinah.


Menyedari hakikat ini, saya mengambil kesempatan menggunakan sedikit masa yang terluang membimbing anak-anak ini untuk menzahirkan isi hati melalui penulisan jurnal peristiwa.

Nah…cubalah hayati beberapa petikan yang saya ambil dari catatan anak-anak ini dalam masa yang singkat…


Catatan1:

Aku telah melalui satu pengalaman yang amat sukar ku lupakan sepanjang hayatku. Pada tanggal 30 Mac 2009, tepat jam 7.45 malam, aku telah selamat melahirkan seorang puteri yang comel. Tidak pernah ku impikan untuk menjadi ibu di usia semuda ini. Anak ini kuberi nama DAMIA. Entah mengapa, menatap wajahnya hatiku tiba-tiba berubah. Jika sebelum ini, kehadirannya seoalah-olah tidak ku kehendaki. Pernah aku berhajat untuk menggugurkannya kerana memikirkan wujudnya ia tanpa berbapa. Tetapi sebaik menyentuh kulitnya yang lembut, aku begitu mengasihinya...

Namun sayang sekali, aku terpaksa menyerahkan anakku kepada keluarga angkat. Walaupun hatiku begitu berat untuk melepaskannya, aku pasrah demi untuk masa depan anakku yang lebih baik bersama keluarga angkat.

Pengalaman berjuang antara hidup dan mati sewaktu melahirkan Damia membuat ku tersedar betapa besarnya pengorbanan ibu yang melahirkanku. Ibu menjagaku bagai menatang minyak yang penuh. Tetapi aku membalasnya dengan memberi tuba. Agaknya inilah balasan segala dosa-dosaku membuatkan aku tidak berpeluang menjaga Damia. Oh.....aku amat merindui anakku. Namun aku bersyukur, keinsafan ini berlaku setelah aku menghuni Raudhatus Sakinah. Kalaulah tidak, entah apa yang akan berlaku kepada anakku. Mungkin dia tidak berpeluang menjenguk muka di dunia ini.

Aku cuma berpeluang menjaga Damia selama seminggu. Cukuplah untuk aku menyusukannya dan merasai kehangatan tubuhnya yang mongel. Aku cuma mampu berdoa semuga keluarga angkat memelihara Damia sebagaimana anak mereka sendiri. Hatiku terlalu pedih mengingatinya saban malam. Aku berharap suatu hari nanti aku dapat bertemu Damia walaupun nun jauh di Terengganu. Aku sentiasa berdoa semuga Damia membesar menjadi anak yang soleh dan tidak melupakan aku, ibu yang melahirkannya.


Catatan 2:

Aku tidak dapat melupai saat ini. Tiga bulan lalu aku dimasukkan ke sini, tempat yang bernama Raudhatus Sakinah. Sewaktu dihantar oleh kedua ibu bapaku, mereka tidak memberitahuku yang aku akan dihantar ke pusat pemulihan ini. Sebaik mendapat tahu, aku rasa bagaikan dunia ini gelap gelita jadinya kerana mengetahui tempat ini adalah tempat pemulihan akhlak. Aku dapat merasakan bahawa aku akan terkurung di sini.

Tetapi apabila aku renungkan kembali apa yang telah aku lakukan, ia berpunca dari dalam diriku sendiri. Aku tidak pernah memikirkan kesan buruk dari apa yang akan ku lakukan.

Alhamdulillah, setelah berada di sini aku telah mendapatkan kembali kepercayaan dari ibuku. Banyak cubaan dan dugaan yang harus kutempuhi di sini. Namun aku redho. Makcik-makcik sukarelawan di sini mengatakan Allah masih sayangkan aku, sebab itu aku dimasukkan ke sini.

Di sini aku berjumpa dengan kawan-kawan baru yang senasib denganku. Di sini juga aku diajar macam-macam ilmu agama yang sebelum ini tidak pernah ku tahu. Solatku penuh lima waktu. Tahajud setiap hari dan puasa setiap isnin dan khamis. Sebelum ini langsung tidak pernah ku lakukan. Aku juga diajar memasak, menjahit dan macam-macam lagi. Alhamdulillah aku sudah berada di sini selama tiga bulan. Syukur kepada Allah kerana menyelamatkan aku dari terus terumbang ambing di luar sana. Jika aku terus berada di luar, mungkin aku akan menjadi orang yang lebih teruk. Syukur padaMu ya Allah....


Catatan 3:

Detik 2.30 pagi tanggal 16 April 2009, aku dan rakan-rakanku berjaya memboloskan diri keluar dari Raudhatus Sakinah. Alangkahnya gembiranya perasaanku ketika itu kerana dapat menikmati suasana di luar yang selama ini aku impikan. Tapi sayang kegembiraan ini hanya sekejap. Kami terperangkap dengan kebodohan kami sendiri.

Aku merenung kembali tindakanku itu. Aku bertambah yakin dengan takdir Allah, kegembiraan sekejap itu hanyalah bersifat sementara kerana apa yang dikejar di luar adalah juga bersifat sementara.

Mak, ayah...aku tak pernah menginginkan semua ini terjadi. Aku sedar selama ini aku telah banyak menyakitkan hati mak dan ayah. Aku telah banyak menyebabkan mak menitiskan air mata. Kalaulah boleh aku ulang kembali zaman lalu, sudah tentu aku akan buat mak dan ayah tersenyum. Percayalah...aku menyayangi mak dan ayah. Aku terlalu merindui saat-saat indah bersama keluarga...

Aku menyesal dengan apa yang telah aku lakukan. Banyak masaku berlalu dengan sia-sia. Aku telah menghancurkan masa depanku dalam sekelip mata. Hanya Allah saja yang tahu apa yang telah aku lakukan. Hampir setiap malam aku panjatkan doa ke hadrat Ilahi semuga aku diberi rahmat dan kekuatan untuk terus hidup.

Alangkah lemahnya diri ini memikirkan apa yang telah terjadi...bantulah aku ya Allah...terasa penat dan letih untuk aku terus menitiskan airmata yang terasa telah kering ini...Apakah masih ada insan yang akan menyayangi diriku setelah apa yang berlaku?

Maafkanlah aku Ya Allah di atas segala dosa dan kesilapanku. Bagilah aku peluang untuk berubah dan mengecapi kebahagiaan seperti insan lain. Walaupun kadangkala jiwaku memberontak di sini, tetapi berpeluang mengenali makcik-makcik yang perihatin di Raudhatus Sakinah merupakan sesuatu yang amat berharga. Oh Tuhan...telah lima bulan aku di sini...Aku tidak kuat melalui semua ini... Bantulah hambamu ya Allah...Jika ini adalah balasan atas dosaku selama ini, aku redho dan pasrah ya Allah...

Oh...Tuhan...kirimkanlah seseorang yang boleh membimbingku ke jalanMu. Kerana sesungguhnya JalanMu adalah Jalan yang terbaik untuk menuju ke tempat yang kekal abadi..Aminn....


Apr 14, 2009

Rahsia di Sebaliknya.....

Sekadar ingin berkongsi petikan maksud sebuah Hadis yang sempat dibaca pagi ini. Muga kita dapat merenungkannya sejenak sebagai sebahagian dari muhasabah diri.





Daripada Anas r.a: Daripada Rasulullah saw, telah berfirman Allah SWT, bermaksud:

“Sesungguhnya di kalangan para hambaKu, ada yang imannya tidak akan dielokkan melainkan oleh kekayaan. Jikalau aku memfakirkannya, nescaya kefakiran itu akan merosakkannya. Sesungguhnya di kalangan para hambaKu, ada yang imannya tidak akan dielokkan melainkan oleh kefakiran. Jikalau Aku mewahkannya, pasti kemewahan akan merosakkannya. Sesungguhnya di kalangan para hambaKu, ada yang imannya tidak akan dielokkan melainkan oleh kesihatan. Jikalau Aku menjadikannya sakit, pasti sakit akan merosakkannya. Sesungguhnya di kalangan para hambaKu, ada yang imannya tidak akan dielokkan melainkan oleh sakit. Jikalau aku menyihatkannya, pasti kesihatan akan merosakkannya. Sesungguhnya Aku mentadbir segala hambaKu dengan pengetahuanKu tentang apa yang ada dalam hati mereka. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui (perkara yang zahir) lagi Maha Mengetahui (perkara yang batin).” (Riwayat Ath Thobarani).


Apr 5, 2009

Sentuhan ABJZ: Jom Bersama ........

”Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah....”
Ali Imran:110

Keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda pada hari ini akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Mereka merupakan aset utama negara pada masa akan datang dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya generasi muda pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Kiranya individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka secara automatiknya peribadi individu itu juga akan menjadi buruk. Generasi muda yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.


Saban hari isu-isu gejala sosial hangat diperkatakan, secara tidak langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa generasi muda kini semakin agresif, berani, dan liar. Masalah ini mempunyai hubung kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, perasaan ingin tahu, ingin mencuba dan pengaruh rakan-rakan. Apabila masalah keruntuhan remaja dibincangkan soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku? Ibu bapa dan orang dewasa pula merasa kekok, tidak selesa ataupun tidak relevan dalam membincangkan secara terbuka mengenai aspek tanggungjawab kesihatan reproduksi dan seksual dengan anak remaja mereka sendiri. Kejahilan inilah yang menyebabkan golongan muda lebih banyak terjebak tanpa pendedahan awal mengenai seks.


Statistik-statistik dan fakta yang dinyatakan mempunyai kaitan yang jelas dengan larangan Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 32 “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Intipati ayat Allah tersebut sangat menekankan aspek pencegahan dan pendidikan menjauhi zina.

Atas dasar itu, Jamaah Islah Malaysia Negeri Johor (JIM Johor ) berasa terpanggil untuk mendidik generasi remaja dan belia tentang pentingnya menjauhi zina melalui kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ). Usaha kempen ini telah dimulai dengan Majlis Pelancaran di peringkat Pusat pada 14 Julai 2007 yang telah mendapat perkenan Tuanku Permaisuri Agong D.Y.M.M Sultanah Nur Zahirah dan disusuli di peringkat Daerah Batu Pahat pada 14 Februari 2009 dan diikuti oleh peringkat Negeri Johor pada 28 Februari 2009 dengan kerjasama Jabatan Agama Johor dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.


Gambar-gambar di bawah merupakan salah satu siri kempen ABJZ yang telah berlangsung di SMK Taman Universiti pada 4 April 2009.




Anak-anak bertugas menguruskan booth jualan


Banner ABJZ merupakan sebahagian dari pakej


Gandingan veteran dan junior: Amirah, ummunad dan Sakinah


"I.Allah kami berjanji......"


"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim....."


Tetap ceria walau baru diuji kesakitan....


Sebahagian peserta yang datang secara sukarela


Sebahagian lagi peserta



Inginkan maklumat lanjut? Atau ingin menjemput team ABJZ ke tempat anda?
Sila emel kpd:
ummunad@gmail.com or tel 013-7741812.

Muga sama-sama kita meraih saham di sisi Allah SWT....