Melakar kehidupan bukan semudah mencorak lukisan. Namun warna warni lakaran itulah yang akan menceriakan dan mendewasakan. Selamat Melayari Tribulasi Kehidupan....

Bertakhta di Hati

Mar 29, 2009

Cinta di Rumah Hassan al Banna





Buku ini menghidangkan kepada masyarakat episod-episod cinta di rumah Hasan Al-Banna. Pembaca akan merasa terpesona dengan sikap ketelitian Al-Banna di dalam menguruskan keluarga di samping tuntutan tugas beliau terhadap dakwah, tarbiyah dan siasah.


Pembaca akan bertemu dengan insan-insan disebalik ketokohan Hasan Al-Banna. Mereka termasuklah kedua ibu bapanya, isterinya yang sentiasa ikhlas dan mengkagumkan serta enam orang anak-anak yang membanggakan.


Sangat menyentuh hati apabila membaca bagaimana seorang peribadi yang sangat sibuk dalam memperjuangkan dakwah, tetap melaksanakan hak dan kewajiban keluarga terhadap dirinya. Turut digambarkan pula tentang seorang suami yang sangat menyayangi dan menghormati istrinya serta dengan penuh kasih sayang mendidik anak-anak, memberikan pemahaman tanpa kekerasan, membuatkan anak-anak cinta tehadap al-Qur’an dan ilmu pengetahuan.


Mungkin kadangkala kita terfikir bahawa urusan keluarga dan perkara yang berkaitan dengannya menjadi kurang penting jika dibandingkan dengan tuntutan dakwah semasa. Tetapi Hassan al-Banna telah menunjukkan teladan yang baik sebagai bahan muhasabah untuk kita semua.


Hal ini diakui oleh anak beliau dalam ungkapan berikut:


"Ayah adalah pemimpin rumah tangga ideal yang tidak melalaikan hak-hak keluarga. Awal makalah yang ditulisnya “Dakwah adalah Kewajiban”, dan makalah keduanya bertajuk “Kepada Siapa Dakwah ini Diserukan?” menegaskan bahwa keluarga adalah nombor satu objek dakwah yang harus diperhatikan. Ayah menyandarkan hal itu kepada firman Allah S.W.T. “Wa andzir asyiiratakal aqrabiin…” Dan berilah peringatan pada keluarga kalian yang dekat…” (Ahmad Saiful Islam Hasan Al-Banna)



Perkara yang paling menyentuh naluri saya sebagai seorang isteri ialah jawapan beliau kepada isteri apabila diajukan permintaan memiliki sebuah rumah kecil untuk keluarga mereka:

"Wahai Ummu Wafa, sesungguhnya istana kita sedang menunggu kita di syurga-Nya….”


Lantas diterima oleh sang isteri dengan hati yang terbuka.....


Alangkah indahnya kehidupan mereka....... Sehingga dengan ikhlas dan redha, keluarga ini melepaskan pemergian suami dan ayah mereka menuju kehidupan sebenar di sisi Allah SWT......

Mar 26, 2009

Wanita Tauladan Masakini: Wanita Gaza - 2



Sambungan.....


Berikut adalah beberapa kesimpulan yang dapat dibuat mengenai Wanita Gaza:

1. Wanita Gaza adalah wanita yang sabar, ujian apapun yang menimpa tidak membuatkan mereka gentar ketakutan berbeza dengan wanita Yahudi di Selatan Israel yang sehingga perlu dibawa ke hospital kerana "stress" atau tekanan mental menghadapi roket2 Hamas.

2. Ketabahan mereka ternyata didasari oleh iman dan ketaqwaan kepada Allah swt. Kita melihat mereka mengekang perasaan kesedihan mereka dengan berdoa mengangkat tangan kepada Allah swt mengutuk kekejaman Israel ketika menghadapi keadaan di mana rumah mereka hancur dan ahli keluarga yang terkorban.

3. Kuatnya keganasan dan permusuhan Yahudi justeru membuatkan mereka tetap tegak, teguh dan menentang. Penentangan wanita Gaza bukan dengan mengangkat senjata, tetapi dengan menunjukkan keteladanan dalam sikap berani menghadapi kenyataan peperangan yang keras dan kejam ini di hadapan anak-anak mereka.

Nampak dari raut wajah mereka yang meskipun terurai dengan airmata tapi tetap berwajah tegar manakala anak-anak mereka menatap setiap bentuk bahasa badan ibu-ibu mereka.

Pendidikan apa lagi yang terbaik dan paling efektif selain dari pendidikan menzahirkan keteladanan dalam kesabaran?.

Cubalah kita amati bahasa tubuh mereka ketika diwawancara oleh para wartawan, baik semasa perang mahupun sesudahnya di mana keadaan mereka cukup tenang ketika menceritakan pengalaman mereka.

Kaum wanita di Gaza tidak sesekali menyukai peperangan, namun jika peperangan merupakan takdir bagi bangsanya, kaum wanitalah yang memikul beban berat sebagai mangsa korban. Merekalah yang pertama sekali merasakan sukarnya hidup seharian di tengah-tengah suasana perang bermula dari persoalan mencari keperluan sehari-hari hingga kepada usaha menenangkan anak-anak mereka yang ketakutan.

Belum lagi ditambah dengan jumlah mangsa korban utama sebagaimana di Gaza ini kerana senjata perang Israel sentiasa mengejar wanita dan anak-anak walaupun di tempat-tempat penginapan mereka..

Bagi bangsa yang terjajah dan dizalimi seperti ini, masa depan bangsanya terletak di bahu mereka. Kaum wanita Gaza tidak seharusnya menunjukkan kelemahan mental, ketakutan yang menimbulkan perasaan menyerah kepada musuh atau kelemahan aktiviti yang menyebabkan mereka tidak lagi dapat bergerak menjalani kehidupan mereka.

Jika sikap-sikap kelemahan tersebut yang dilihat oleh anak-anak mereka pada hari ini, maka kita dapat bayangkan bahwa dalam masa 10 tahun ke hadapan, wilayah yang sekarang ini bernama Gaza mungkin akan berdirinya bandar-bandar pelancongan Israel dengan nama Yahudi sebagaimana nama Ashdod, Ashkelon, Sderot, Kiryat Shimona dan lain-lain.

Ini kerana jika mereka (kaum wanita Gaza hari ini) lemah, maka anak-anak mereka akan tumbuh menjadi penakut dan mempunyai sikap mudah menyerah tetapi Alhamdulillah sekarang mereka tetap teguh dan InsyaAllah sampai hari Qiamatpun bangsa Yahudi tidak akan dapat merasa tenang dengan kezalimannya kerana akan sentiasa ada yang menentang mereka dari satu generasi ke generasi Palestin yang
baru.

Inilah yang seharusnya kita belajar daripada mereka.


Sumber tulisan: WAS

Wanita Tauladan Masakini: Wanita Gaza - 1






Sekadar memetik tulisan yang begitu menyentuh hati, di forwardkan oleh seorang rakan:




Tahun baru 2009 dimulai dengan kisah duka bagi umat Islam iaitu peperangan di Gaza. Pemandangan yang sangat memilukan. Namun Allah swt menjadikan peristiwa Gaza bukan sekadar untuk menjadi tontonan television dan bualan para wartawan untuk bulan tersebut.

Apa yang kita dengar dari berita:

1. Seorang ibu dari keluarga Samouni di Gaza melahirkan anaknya di tengah-tengah suasana pengeboman.

2. Seorang wanita mengatakan: "Tidak, tanah ini milik kami, apapun yang mereka lakukan tanah ini milik kami, kami akan tetap menentang mereka (Yahudi)."

3. Seorang wanita muda pergi ke kedai roti untuk membeli roti dan terpaksa beratur berjam-jam di tengah-tengah ledakan bom di Gaza. Ketika ditanya oleh wartawan mengapa ia tetap pergi ke kedai roti padahal ia dalam keadaan tidak selamat, ia menjawab: "Tinggal di rumahpun kami dibom sedangkan saya perlu membeli roti untuk keluarga di rumah, jadi saya perlu laluinya juga. kita hanya mati sekali."

4. Selama 22 hari perang, Israel berjaya membunuh 600 orang anak-anak Gaza dari lebih 1,300 mangsa yang meninggal, tapi selama masa itu pula lahirnya 3,500 bayi baru. Ramai wanita Gaza yang melahirkan kembar samada kembar dua atau kembar tiga.

Sungguh luar biasa, hanya sehari sesudah kedua pihak menyatakan gencatan senjatanya masing-masing, polis lalu lintas sudah bertugas di jalan-jalan di Gaza, bahkan sekolah dibuka kembali kurang dari seminggu sesudah itu. Para murid saling menyapa ketika pertama kali berjumpa: "Hai kamu masih hidup ya?"

Wilayah ini sudah tidak mempunyai bangunan parlimen, tidak mempunyai balai polis (walaupun anggota polisnya bertugas) dan seluruh bangunan pemerintah sudah hancur dibom bahkan masjid-masjid dan hospital serta sekolah tidak luput dari pengeboman.

Infrastrukturnya boleh dikatakan sudah hancur tetapi ternyata struktur masyarakatnya tidak hancur, sistem sosialnya tidak terhapus bersama bangunan-bangunanny a. Solat berjamaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan dan masjid. Bahkan masjid mengumpulkan dana dari sebahagian jama'ah yang masih mempunyai sesuatu untuk disumbangkan kepada jiran tetangganya yang lebih memerlukan. Inilah sebuah bangsa yang mempunyai daya tahan yang amat tinggi.

Jangan lupa, sebelum peperangan, Israel sudah mencekik Gaza dengan sekatan selama hampir 2 tahun dan itu menyebabkan semua penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan kerana sukarnya untuk mendapatkan bahan makanan di samping harganya yang melambung tinggi.

Dengan berita-berita seperti di atas kita telah mendapatkan gambaran betapa anak-anak Palestin dari generasi ke generasi telah ditempa oleh ujian berat dengan pelindung mereka yang tetap teguh yang terdiri dari para ibubapa terutama para ibu yang tetap menggenggam prinsip kesabaran di tengah-tengah ujian yang amat berat itu.

Kita boleh meninjau beberapa kriteria yang menambah kesabaran mereka iaitu:

1. Tidak lemah mental mereka
2. Tidak lemah penampilan mereka
3. Tidak lemah aktiviti mereka

Dari berita-berita yang diterima, para wanita Gaza tidak lemah mental mereka dan tidak akan mengalah kepada penjajah Israel, di mana kebanyakan mereka berpandangan bahwa perjuangan menentang penjajahan tetap akan diteruskan. Tidak ada yang gementar ketakutan ketika mendengar deruan pesawat pengebom di atas kepala mereka. Jika ditanya, mereka berkata dengan nada tegas bahwa mereka tidak
takut kepada tentera Israel dan akan melawan dengan senjata alat dapur, jika berhadapan secara terus. Inilah di antara tanda tidak wujudnya kelemahan mental di kalangan mereka.

Selain itu mereka tidak lemah penampilan di mana nampak jelas bahwa mereka tetap tegak ketika diwawancara oleh para wartawan, bahkan mereka masih boleh menyuarakan kekecewaan mereka kepada para pemimpin Arab yang tidak membantu mereka. Bahkan ada yang menunjukkan tangan ke arah kamera. Sikap tubuh mereka jelas menunjukkan bahwa mereka tidak lemah penampilan walaupun sesetengahnya dalam keadaan cedera dan menanggung kesakitan.

Mereka juga tidak lemah dalam aktiviti mereka di mana walaupun tersisa sedikit kesempatan, mereka terus menjalankan aktiviti mereka samada ke pasar berjual beli, memakamkan ahli keluarga dan kerabat sehingga sempat pula bersilaturahim sesama saudara mereka di pasar. Di tengah-tengah aksi pengeboman, mereka sanggup beratur untuk membeli roti dengan mempertaruhkan nyawa mereka. Bahkan ada
seorang ibu yang melahirkan anak di tengah-tengah pengeboman dengan hanya dibantu oleh ibunya dengan menggunakan lilin di malam hari.

Bersambung.....

Mar 24, 2009

Ukhuwah dan Kekuatan



Dr. Abdullah Nashih ‘Ulwan dalam bukunya Al-Ukhuwwah Al-Islamiyah mengemukakan bahwa ukhuwah adalah kekuatan iman dan spiritual yang melahirkan perasaan kasih sayang, mahabbah (kecintaan), kemuliaan, dan saling mempercayai di antara satu sama lain khususnya terhadap mereka yang hatinya diikat dengan aqidah Islam, iman, dan taqwa.




Perasaan persaudaraan ini melahirkan keutamaan dan keikhlasan kasih sayang yang melahirkan sikap positif seperti tolong-menolong, mengutamakan orang lain, pemaaf, pemurah, setia kawan, dan sikap mulia lainnya.






Sekiranya ukhuwah ini telah tejalin, maka di sana akan wujud dua kekuatan.


Pertama, kekuatan individu iaitu kekuatan aqidah dan ketahanan peribadi sehingga seorang yang berukhuwah akan memiliki keistiqomahan dalam mempertahankan nilai-nilai kebenaran. Ini karena dengan ukhuwah, jalinan hubungan sesama Muslim akan menjadi kuat. Kekuatan hubungan ini pula akan membuatkan setiap ahli berusaha untuk memberikan contoh tauladan yang baik serta saling memberi nasihat dalam kebenaran.




Kedua, kekuatan jama’ah. Kita memiliki pribahasa yang menyatakan, “Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh”. Oleh karena itu, ketika Rasulullah SAW ingin membangun kekuatan umat, maka setibanya Baginda ke Madinah, perkara pertama yang Baginda lakukan adalah mempersaudarakan antara Muhajirin dengan Anshar.



Jika dua kekuatan ini kita miliki, maka gerak kerja dakwah kita akan semakin kuat kerana sehebat mana pun beban serta risiko perjuangan yang datang, kita akan mampu menghadapi dan mengatasinya bersama.



Salam Perjuangan.....


Mar 23, 2009

Ukhuwah Adalah Anugerah




















Ukhuwah adalah anugerah terbesar kurniaan Allah SWT kepada kita. Ini kerana perpecahan, pertentangan, dan permusuhan bukan sahaja dicela tetapi ia juga boleh mengakibatkan kesengsaraan yang tidak menyeronokkan. Apatah lagi sekiranya ia berlaku di kalangan mereka yang bergelar aktivis dakwah. Oleh karena itu, ukhuwah merupakan karunia Allah SWT yang harus kita pelihara dengan sebaik-baiknya.



Allah SWT berfirman,


“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (Ali Imran: 103).


Allah SWT juga berfirman,

“Seandainya engkau belanjakan apa yang ada di bumi semuanya, tidaklah dapat engkau persatukan antara hati mereka, tapi Allahlah yang mempersatukan antara mereka. (Al-Anfaal: 63).


Kedudukan ukhuwah dalam Al-Quran dan Hadis:

Ketika kita meneliti ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang berbicara tentang ukhuwah Islamiyah, akan kita dapati betapa penting nilai ukhuwah Islamiyah dalam kehidupan dan perjuangan kita. Paling tidak, ada dua nilai ukhuwah yang harus kita miliki.


Pertama: bersihnya hati kita terhadap saudara seiman sehingga tidak berburuk sangka, tidak iri hati, tidak mencari aib orang lain, tidak memiliki sikap bermusuhan, dan sebagainya.


Dalam satu hadits Rasulullah SAW bersabda,
“Jauhilah prasangka, karena prasangka itu ucapan yang paling dusta. Janganlah kalian mencari-cari aib orang lain lain, janganlah saling mendengki, membenci atau memusuhi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (H.R. Muslim).


Kedua: Mengutamakan orang lain. Inilah yang telah ditunjukkan oleh para sahabat dalam menjalin ukhuwah dengan sahabat lainnya.


Abu Bakar Ash-Shiddiq mengorbankan banyak hartanya hanya untuk menebus Bilal dari perbudakan.
Begitu juga dengan sahabat Sa’ad bin Rabi’ yang memberikan separuh hartanya untuk diberikan kepada Abdurrahman bin Auf ketika hijrah ke Madinah. Bahkan, beliau juga telah menceraikan isterinya untuk dinikahkan dengan sahabatnya itu.


Hal ini tercermin dalam firman Allah SWT,


“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr: 9).


Mar 4, 2009

WAHAI WANITA.....



SAIYIDATUNA 'Aisyah r.'a meriwayatkan : Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya),



"Hai Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau senantiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau akan senantiasa di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini..."




Intisari wasiat Rasulullah s.a.w tersebut dirumuskan seperti berikut:




Hai, Aisyah, peliharakanlah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka.




Antara sebab-sebabnya ialah mereka itu :




(a) tidak dapat menahan sabar dalam menghadapi kesakitan (kesusahan) - apabila didatangkan musibah tidak bersabar;

(b) tidak memuji Allah Taala di atas kemurahan-Nya - apabila dikurniakan nikmat dan rahmat tidak bersyukur;
(c) mengkufurkan nikmat;
(d) membanyakkan kata-kata yang sia-sia;




Wahai, Aisyah, ketahuilah :



(a) bahawa wanita yang menidak-nidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan digugurkan oleh Allah Taala amalannya;
(b) bahawa wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka pada hari kiamat, Allah menjadikan lidahnya tujuh puluh hasta dan dibelitkan di tengkuknya;
(c) bahawa isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhnya pada hari kiamat;
(d) bahawa isteri yang tidak memenuhi kemahuan suaminya (yang harus / halal) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhiananti suaminya, akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka;
(e) bahawa wanita yang mengerjakan sembahyang dan berdoa untuk dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya dengan sembahyangnya;
(f) bahawa wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau mencarik-carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan isteri nabi Nuh dan isteri nabi Lut dan tiada harapan mendapat kebajikan syufaat daripada sesiapa pun;
(g) bahawa wanita yang berzina akan diderakan di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat - tiap-tiap perbuatan zina dengan delapan puluh cemeti daripada api;
(h) bahawa isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan qiamul-lail pada malamnya serta pahala berjuang fi sabilillah;
(i) bahawa isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diganjari pahala memerdekakan seorang sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya;
(j) bahawa wanita apabila bersuami dan bersabar daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan titik-titik darah dalam perjuangan fi sabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanitat (banyak beribadat kepada Allah.)





Mar 3, 2009

INSAN PEMAAF


Sekadar bahan ringan untuk renungan kita bersama, tentang kelebihan orang yang pemaaf.


1) Firman Allah Ta‘ala dalam surah Ali-Imran ayat 134 yang tafsirnya:


"(Di antara sifat orang yang bertakwa itu ialah) orang-orang yang menahan
kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah),
Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan."




2) Firman Allah lagi dalam surah Asy-Syura ayat 43 yang tafsirnya :


"Dalam pada itu (ingatlah) orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang
terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat (melakukannya)."



3) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah SAW
bersabda yang maksudnya:


"Tidak akan berkurangan harta yang disedekahkan dan Allah akan menambah
kemuliaan kepada seorang hamba yang mahu memberi kemaafan dan Allah akan
mengangkat darjat orang yang mahu merendahkan diri keranaNya."
(Hadits riwayat Muslim)




Kesimpulan:



Jadilah kita seorang insan yang sentiasa memaafkan kesalahan orang lain, khususnya pada setiap hari sebelum kita melelapkan mata untuk tidur. Muga dengan itu Allah memberikan keampunan ke atas segala dosa yang telah kita lakukan.
Ameen!

RAHMAT UJIAN


Anda sedang diuji dengan sesuatu yang hebat?

Bagimana perasaan anda ketika ini?




Teringat saya akan tulisan KH Rahmat Abdullah yang berbunyi begini:


"Setiap kita akan senantiasa diuji oleh Allah SWT pada titik-titik kelemahan kita. Orang yang lemah dalam urusan wang namun kuat terhadap fitnah wanita tidak akan pernah diuji dengan wanita. Tetapi orang yang lemah dalam urusan wanita namun kuat dalam urusan wang tidak akan pernah diuji dengan masalah kewangan. Begitu juga orang yang mudah tersinggung dan mudah marah akan senantiasa dipertemukan oleh Allah dengan orang yang akan membuatnya tersinggung dan marah sampai ia dapat memperbaiki titik kelemahannya itu sehingga menjadi tidak mudah tersinggung dan tidak pemarah".




Benar, ujian daripada Allah meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang engkar. Malah ujian bagi hamba-Nya yang taat lebih hebat berbanding dengan mereka yang ingkar.








Rasulullah SAW pernah ditanya:


”Ya Rasulullah, siapakah paling keras mendapatkan ujian? Baginda menjawab: Nabi dan pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat, maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah, maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan”. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)


Hakikatnya ujian Allah itu datang sesuai dengan kemampuan seseorang. Sebagaimana Firman Allah bermaksud:


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (AL Baqarah ayat 286).


Justeru itu, yakinlah dengan janji Allah. Kita tidak akan dibiarkan bersendirian sebaliknya pertolongan Allah pasti datang jika kita redho dan bersabar.


“Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. ( Alam Nasyrah 5-6).